KUALA LUMPUR: FELDA sudah mengemukakan notis untuk menjual balik 37 peratus pegangan dalam PT Eagle High Plantations Tbk (Eagle High) kepada PT Rajawali Capital International.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata notis kepada syarikat berpangkalan di Indonesia itu, dikemukakan awal tahun ini yang dibuat berdasarkan opsyen jual dalam perjanjian urus niaga antara kedua-dua entiti itu sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, PT Rajawali Capital International mencabar penjualan balik itu dan kini sedang melalui proses timbang tara.

“Kami sudah kemukakan notis (jualan balik) kepada Eagle High awal tahun ini, tetapi saya dimaklumkan mereka mencabar keputusan ini.

“Ia kini dalam proses timbang tara, namun kita akan tetap teruskan perkara ini,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan mengarahkan FELDA menggunakan opsyen bagi menjual balik 37 peratus pegangannya dalam Eagle High kepada PT Rajawali Capital International.

Pada Februari lalu, The Straits Times Singapura melaporkan FELDA bercadang melupuskan pegangannya dalam Eagle High dan menuntut kembali lebih AS$500 juta (RM2.03 bilion) yang dilaburkan ke atas ladang kelapa sawit serta aset pengeluaran berkaitan gula di Indonesia pada Mei 2017.

FELDA dilaporkan ingin menjual semula kepentingan ekuitinya pada harga pembelian AS$505.4 juta (RM2.06 bilion) bersama faedah tahunan enam peratus yang harus ditanggung syarikat Indonesia berkenaan – Berita harian