KUALA TERENGGANU: Fenomena air surut ke tahap maksimum yang berlaku di Dungun dan Besut, disifatkan sebagai kejadian alam biasa, kesan daripada fenomena air pasang besar, namun diakui jarang terjadi.

Ketua Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam Abd Rahman, berkata pihaknya sedia maklum berhubung fenomena berkenaan selepas menerima maklumat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, namun tiada apa yang perlu dibimbangkan.

Beliau berkata, kejadian itu adalah rentetan daripada implikasi fenomena air pasang besar yang berlaku di negeri ini sejak Isnin lalu yang mencecah ketinggian 2.8 meter.

“Kejadian air pasang besar yang maksimum sejak beberapa hari lalu menyebabkan terjadinya fenomena air surut di lokasi berkenaan. Ia adalah fenomena alam yang biasa, namun diakui jarang terjadi.

“Malah kejadian yang tular di laman sosial itu tidak ada apa yang perlu dibimbangkan dan ia juga tidak ada kena mengena dengan bencana alam di luar negara atau sebagainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fenomena air surut yang menggemparkan penduduk di Pantai Bukit Keluang, Besut. – Ihsan APM

Dalam perkembangan berkaitan, Che Adam yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Terengganu berkata, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat kesimpulan sendiri berhubung penularan ramalan imej satelit kononnya akan berlaku ribut, angin kencang dan hujan lebat yang dijangka berlaku minggu depan.

“Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam proses mengkaji dari semasa ke semasa bagi memberikan gambaran sebenar berhubung keadaan cuaca terutama pada musim monsun timur laut ini.

“Masyarakat dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang kesimpulan sendiri sebaliknya merujuk kepada pihak bertanggungjawab terlebih dahulu.

“Bagi pihak Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri, kami akan memaklumkan dari semasa ke semasa maklumat yang disampaikan MetMalaysia melalui kenyataan rasmi seperti amaran cuaca dan sebagainya.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak terlalu panik atau bimbang dengan penularan berita berkenaan,” katanya – berita harian