IPOH: Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena hujan meteor yang dijangka dapat dilihat dengan mata kasar di langit negara ini pada 13 dan 14 Disember ini.

Ketua Penolong Pengarah Planetarium Negara, Mohd Zamri Shah Mastor berkata, fenomena itu yang dikenali sebagai hujan meteor Geminids merujuk kepada pergerakan kira-kira 120 meteor sejam menerangi langit pada malam berkenaan.

Katanya, ia dapat dilihat menggunakan mata kasar semasa mencapai tahap maksimum bermula pada pukul 9 malam, 13 Dis hingga 6 pagi pada 14 Disember depan.

“Dua meteor dijangka muncul di langit pada setiap seminit lalu menjadikan kira-kira 120 meteor dapat dilihat dalam tempoh sejam.

“Titik asal pancaran hujan meteor ini berpunca daripada buruj Gemini di langit utara apabila bumi merempuh debu-debu di angkasa lepas di bekas laluan asteroid 3200 Phaethon yang menyebabkan fenomena itu berlaku,” katanya kepada Bernama.

Menurut Mohd Zamri, Bukit Fraser dan Teluk Kemang di Port Dickson adalah antara lokasi yang baik untuk orang ramai menyaksikan fenomena ini.

Selain itu, beliau berkata, fenomena itu boleh dilihat dengan lebih jelas di lokasi gelap dan kurang bercahaya seperti kawasan pedalaman, pinggir hutan dan juga tepi pantai yang jauh daripada sumber pencemaran cahaya.