BINTULU: Seorang dikhuatiri lemas, manakala tujuh terselamat selepas sebuah feri pengangkut barang terbalik lalu karam di Sungai Pandan, di sini, kira-kira jam 12.30 malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit, berkata mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Mohd Dzulhiqmi Delphen, 23, berasal dari Kampung Burung, Jalan Bakawali, Lahad Datu Sabah.

Katanya, tujuh penumpang yang berada dalam feri berkenaan berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai.

“Ketika kejadian, feri terbabit yang turut membawa empat lori yang sarat dengan muatan sawit itu, dikatakan baru saja berlepas dari Pangkalan Feri Ladang Sungai Pandan menuju ke Jeti Sungai Pandan, dan terbalik lalu karam sebelum sampai ke seberang,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Semua lori yang sarat dengan muatan sawit itu turut tenggelam ke dasar Sungai Pandan.

Mohamad berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini bertumpu kepada gerakan mencari mangsa di kawasan radius 30 hingga 50 meter dari lokasi feri berkenaan karam.

“Usaha pencarian yang bermula dari awal pagi tadi telah menggunakan teknik pencarian di kawasan permukaan sungai,” katanya – berita harian