IPOH: Lebih 10,000 idea membina akan dikumpul bersempena penganjuran Festival Idea Perak yang bakal berlangsung pada 6 hingga 12 September depan.

Pengarah program, Aziph Mustapha berkata, pihaknya mengalu-alukan pihak yang berminat khususnya para sukarelawan untuk berkongsi idea-idea membina yang difikirkan boleh memberi impak positif.

Katanya, idea-idea itu boleh diserahkan kepada pihak penganjur mulai hari ini.

“Mereka boleh berbuat demikian dengan menulis idea-idea di atas bendera segi tiga bersaiz 45x30cm yang dibuat dengan barangan kitar semula dan hantarkan kepada kita.

“Kita akan mewujudkan satu pangkalan data untuk semua idea tersebut, mengkaji dan menyerahkannya kepada kerajaan negeri sebagai sebahagian daripada impak festival itu sendiri,” katanya pada sesi taklimat Festival Idea Perak di sini pada Rabu.

Aziph berkata, ianya terbuka kepada semua pihak yang berminat untuk menyumbang, sama ada organisasi bukan kerajaan, persatuan belia, persatuan wanita, sekolah dan syarikat swasta.

“Idea ini boleh diberikan dalam pelbagai bentuk selagi ianya sesuatu yang positif dan konstruktif,” jelas beliau.

Bercakap mengenai festival berkenaan, beliau memberitahu setakat ini lebih 40 pihak telah bersetuju untuk mengambil bahagian dalam acara yang diadakan selama tujuh hari itu dengan 35 program telah disusun.

“Hampir 80 peratus daripada program yang disusun adalah berasaskan ilmu seperti seminar, bengkel, persidangan dan dialog; selebihnya pula melibatkan seni serta hiburan namun ianya turut mengandungi elemen intelektual.

“Ini seiring dengan wawasan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang mahu meraikan idea dengan cara yang berbeza serta melibatkan semua bidang,” katanya.

Aziph berkata, salah satu program terbesar semasa festival itu adalah Expo Idea yang menyediakan 100 gerai pameran merangkumi produk IT dan hasil-hasil penyelidikan institusi pengajian tinggi.

“Pengunjung juga boleh menantikan Festival Buah-Buahan yang disasarkan akan menarik lebih 50,000 orang,” ujar beliau.

Festival Idea Perak dijenamakan susulan kejayaan Dialog Antarabangsa Pangkor yang mendapat tempat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Festival itu dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 10 September ini dan diikuti dengan Dialog Antarabangsa Pangkor pada 11 dan 12 September.