IPOH: Festival Idea (FOI) yang diadakan sebelum Dailog Antarabangsa Pembangunan Pangkor (Pangkor Dialogue) bermula tahun lalu, akan diperluaskan ke daerah-daerah di seluruh negeri Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ia sebenarnya telah dimulakan tahun lalu tetapi hanya melibatkan beberapa daerah sahaja.

Menurut beliau, ia akan dikembangkan dari setahun ke setahun, supaya setiap rakyat di negeri Perak dapat bersama-sama dapat berkongsi suasana perayaan itu, di samping berkongsi idea dan pengalaman mereka.

“Yang kita nak wujudkan ialah suasana perayaan, festival supaya setiap orang, tak kira sama ada dia tinggal di bandar, dia tinggal di kampung ataupun dia tinggal di kawasan pedalaman.

“Yang paling penting ialah mereka dapat bersama-sama memberikan sesuatu, atau berkongsi bersama-sama idea-idea mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan `soft launch’ Pangkor Dialouge dan Festival Idea 2018 di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan ((IDR) Dr Mazalan Kamis.

Pangkor Dialogue dan Festival Idea tahun ini dijangka diadakan bermula 1 Ogos 2018 (1818).

Dr Zambry berkata, matlamat Festival Idea ialah untuk melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan, berfikir, mempunyai nilai kreativiti tinggi dan berinovasi.

“Kita mulakan program ini dengan memberi ruang seluas-luasnya kepada rakyat negeri Perak dan juga juga rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, sama ada daripada kalangan kanak-kanak mahupun sampai peringkat orang dewasa, mahupun ke peringkat mereka yang digelar pakar.

“Sasaran kita menggalakkan orang berfikir, menyampaikan idea, mungkin dalam banyak-banyak idea itu terdapat idea yang penting untuk membantu kita, untuk membantu kerajaan.

“Mungkin dapat sama mereka mencetuskan idea-idea baru, bukan hanya kepada kerajaan, mungkin dalam kehidupan sosial kita, kehidupan ekonomi dan sebagainya dan inilah bentuk-bentuk yang kita galakkan kepada masyarakat.

“Saya harap ia akan menjadi satu amalan tahunan yang dilakukan oleh masyarakat negeri perak,” ujarnya.