GERIK: Festival Ikan Loma di Sungai Rui, di sini akan dijadikan acara berstatus antarabangsa dan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negara mulai tahun hadapan.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, langkah itu diambil berdasarkan sambutan memberangsangkan daripada masyarakat dalam dan luar negara yang menyertai festival tersebut sejak beberapa tahun lalu.

“Malahan bukan sahaja boleh buat di Sungai Rui, kita juga boleh adakan festival ini di Pengkalan Hulu atau Baling, Kedah. Kita akan libatkan semua jabatan untuk menjayakan festival ini pada masa akan datang.

“Harapnya kedatangan saya ini akan mewujudkan satu kesedaran dikalangan orang ramai mengenai kewujudan festival yang amat-amat unik ini.

“Kita akan masukkan ia (festival ikan loma) ke dalam kalender pelancongan, saya rasa ianya bukan perkara yang sukar untuk jadikannya sebagai satu festival antarabangsa,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri Festival Ikan Loma 2017 Sungai Rui, di sini pada Ahad.

Menurut Nazri, kemasukkan festival itu ke dalam kalendar pelancongan negara akan melonjakkan lagi ekonomi di sekitar daerah Hulu Perak yang kini telah mempunyai beberapa produk pelancongan bertaraf antarabangsa.

Ribuan pengunjung telah menghadiri festival dua hari tersebut untuk melakukan pelbagai aktiviti menarik yang sediakan.

Namun antara acara yang menjadi tumpuan pengunjung ialah pertandingan menyauk ikan loma yang mudik ke hulu sungai itu untuk bertelur.

Antara bulan September hingga November, Sungai Rui dikenali sebagai antara tempat ikan tersebut bertelur di negara ini.

Ikan loma merupakan sejenis ikan yang hanya terdapat di kawasan perairan sungai Perak menghala ke Sungai Rui.

Lazimnya masyarakat luar dan setempat akan berpusu-pusu memenuhi tebing Sungai Rui untuk tidak melepaskan peluang merasai pengalaman unik menyauk ikan itu.

Selain menjadi aktiviti keluarga pada hujung minggu, ada juga pengunjung menjadikan fenomena itu sebagai punca pendapatan yang lumayan.