IPOH – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak akan menganjurkan Festival Kesenian Perak 2018 selama tiga hari mulai 3 Ogos depan bertujuan memperkenalkan kebudayaan negeri ini kepada umum.

Menurut kenyataan JKKN, festival yang turut mendapat kerjasama agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta pengusaha seni budaya itu bakal diadakan dari 8 pagi hingga 12 tengah malam di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh di sini.

“Pelbagai pengisian dan program menarik menanti pengunjung antaranya beberapa pertandingan seperti Rebana Perak (kategori tradisional dan kontemporari); mewarna bagi kanak-kanak; Perak Idol dan ‘Battle of Joget Perak’,” kata JKKN di sini, hari semalam.

Selain itu, pelbagai persembahan seni, pameran dan perkhidmatan, demonstrasi, gerai jualan, taman tema untuk kanak-kanak serta program interaktif juga akan diadakan sepanjang tiga hari festival.

Dalam pada itu, JKKN memaklumkan pihaknya dengan kerjasama Persatuan Deklamasi Lakon Perak (PEDELpk) dan Strada Art Production akan mementaskan satu teater bertajuk Tinggi-tinggi Si Matahari selama tiga hari mulai hari ini.

“Pementasan akan dibuat di Auditorium JKKN di sini dalam dua sesi iaitu 3.30 petang dan jam 8.30 malam dan masuk adalah percuma,” menurut kenyataan itu.

Sebayak 83 tenaga produksi dan barisan pelakon menjayakan teater arahan Ayesar RJ itu yang berkisarkan krsisi rumah tangga Moid dan Murni. – Bernama