FESTIVAL Mandailing yang julung-julung kalinya diadakan di Kampung Sungai Bil, Slim River baru-baru ini telah berjaya menonjolkan kemewahan tradisi dan kekayaan budaya suku kaum itu kepada masyarakat lain di negeri ini.

Dalam festival sehari itu, pelbagai makanan tradisi masyarakat Melayu Mandailing yang berasal dari Sumatera, Indonesia seperti gulai pucuk ubi umbuk, sambal tuk tuk, ubi ponjan, itak poul (tepung uli) dan si pulut marinti (pulut berinti) dipamerkan kepada orang ramai.

Selain dijamu dengan makanan yang unik serta enak, pengunjung juga disajikan dengan persembahan adat perkahwinan masyarakat itu dan tarian tor-tor yang merupakan antara tarian penting dalam masyarakat Mandailing.

MB-pelbagaibudaya 4

Festival yang mengetengahkan budaya sebenar Mandailing itu turut dijayakan penduduk kampung dan beberapa cawangan Ikatan Mandailing Malaysia-Indonesia (IMAMI) dari Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

Presiden IMAMI, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar Mohd Kamal berkata, festival berkenaan merupakan kerjasama antara IMAMI dengan kerajaan negeri Perak bersempena Program Permukiman Menteri Besar di daerah Muallim.

Katanya, program itu hasil cetusan idea Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir diadakan bagi tujuan memperkenal dan mengangkat budaya serta tradisi masyarakat Mandailing.

“Kita cukup gembira kerana berjaya menganjurkan festival yang pertama kalinya dibuat dengan kehadiran sekitar 300 masyarakat Mandailing sendiri dari seluruh negara.

“Selain memperkenalkan budaya dan kesenian masyarakat Mandailing, ia juga dapat mengumpulkan masyarakat kita sendiri yang berada di seluruh negara bagi mengeratkan lagi silaturahim,” katanya ketika ditemui Suara Perak.

Katanya lagi, program berkenaan juga dianjurkan dalam usaha mengajar generasi muda mengenai kewujudan masyarakat Mandailing di negara ini.

“Ada sesetengahnya tidak tahu kewujudan suku kaum Mandailing ini dan ada sesetengahnya pula hanya tahu nama tetapi langsung tidak tahu budaya yang diamalkan oleh keturunan Mandailing.

“Jadi, ini merupakan platform untuk kita berkumpul beramai-ramai, mempamerkan budaya kita dengan harapan sedikit sebanyak akan mendidik mereka mengenai sejarah.

“Pengukuhan budaya adalah bergantung kepada kaum itu sendiri. Kalau tiada kesedaran, budaya kaum itu akan terhapus.
“Seperti kata Menteri Besar, budaya adalah aset, tanpa budaya, tiada apa yang dapat dipamerkan,” jelas beliau.

Seorang pengunjung, Mastura Mustafa Hasibuan, 23, berkata, festival itu sangat dialu-alukan penganjurannya oleh golongan muda kerana mereka boleh mempelajari dan memahami adat tradisi masyarakat Mandailing.

“Bila ada program ini generasi muda macam saya boleh tahu bagaimana budaya orang dahulu (Mandailing) dan saya boleh mengembangkan budaya ini kepada kawan-kawan supaya ia tidak lenyap begitu sahaja,” katanya.

Normah Mahiram Batubara, 61, pula berkata, makanan yang dipamerkan pada festival itu adalah untuk memperkenalkan juadah tradisi masyarakat tersebut kepada anak-anak muda.

Katanya, festival itu turut mempamerkan adat upa-upa iaitu satu adat menasihati pasangan pengantin mengenai hal rumah tangga sambil menawarkan juadah pulut kuning bersama telur ayam kampung dan garam.

Baginya, adat sedemikian juga harus ditonjolkan sebagai teladan kepada generasi muda.