KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Zakaria Arshad telah digantung dari tugasnya serta merta.

Menurut laporan The Star Online, Zakaria telah menerima surat penggantungannya dari Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad yang mengatakan beliau telah dilepaskan daripada semua tugas dalam FGV dan anak-anak syarikat itu.

Sebelum ini, laporan media mengatakan Zakaria sedang siasatan berhubung tunggakan bayaran daripada syarikat Safitex bagi produk Delima Oil Products Sdn Bhd, sebuah anak syarikat FGV.

Laporan media juga mengatakan Zakaria telah diarahkan untuk meletakkan jawatannya kerana beliau telah melanggar amalan korporat dengan membenarkan pembelian oleh pihak Safitex tanpa surat kredit, yang menyebabkan penangguhan bayaran.

Walau bagaimanapun, beliau enggan berbuat demikian berdasarkan tuduhan itu kerana beliau tidak melanggar amalan korporat seperti yang didakwa.

Satu sidang media akan diadakan oleh Isa kira-kira pukul 1.30 petang ini.

-Astro Awani