LENGGONG: Kira-kira 5,000 orang mengunjungi Fiesta Ikan Sungai, pesta ikan darat yang julung-julung kalinya diadakan di Dataran Tasik Raban di sini yang berlangsung selama tiga hari berakhir semalam.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan dan Penerangan dan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, berikutan sambutan menggalakkan itu, pihaknya berhasrat mengadakan acara berkenaan setiap dua tahun sekali.

“Tasik Raban sesuai dengan aktiviti seperti sukan air dan fiesta ikan sungai dan ia menjadi tarikan termasuk kepada industri pelancongan,” katanya pada majlis penutup Fiesta Ikan Sungai di Dataran Tasik Raban, lewat petang semalam.

Fiesta itu yang bermula pada Jumaat, turut menyediakan pelbagai aktiviti antaranya demonstrasi masakan bersama chef selebriti, pertandingan nyanyian bakat cilik, pertandingan memancing dan sukan air.

Saarani yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan berkata, penganjuran fiesta itu merupakan usaha untuk membangunkan Tasik Raban sebagai kawasan pertanian dan pelancongan terkenal di Perak.

“Melalui usaha itu akan memberikan impak ekonomi kepada peniaga dan penduduk setempat,” katanya.