SHAH ALAM: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, golongan muda perlu berfikir di luar kotak dan berani menyahut cabaran jika mahu negara kembali bergelar Harimau Asia.

Beliau berkata, sifat takut mencuba sesuatu yang baharu perlu diganti dengan keberanian untuk mencetuskan pembaharuan yang positif.

“Golongan belia perlu berani menyatakan pendapat dan bersuara. Apa saja bentuk perubahan, minda atau sistem, perlu dimulakan oleh anak muda.

“Saya sendiri ketika menyertai World Economic Forum menegaskan kepada hadirin, belia perlu berani menjadi ‘disrupters’ (pengganggu) dalam sistem, kerana itulah peranan anak muda dalam membentuk masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata, demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, hari ini.

Syed Saddiq berkata, usaha negara untuk kembali bergelar Harimau Asia tidak akan berjaya jika tahap pemikiran rakyat, terutama golongan muda tidak berubah.

“Dahulu apabila Tun (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) mahu bina Putrajaya ramai yang bantah. Begitu juga dengan cadangan bina KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur).

“Apabila kita menganjurkan Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA), ramai yang tidak setuju. Sekarang kita lihat berapa banyak syarikat Malaysia yang berjaya menempatkan diri dalam industri pertahanan,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, semua pihak diminta memahami nilai murni dalam sistem yang membawa negara dikenali sebagai Harimau Asia pada era 80an.

“Pada era 80an, Korea Selatan menghantar pelatih bola sepak mereka ke negara ini dan mempelajari sistem dan nilai yang kita terapkan.

“Hasilnya, mereka menjadi kuasa besar dalam bola sepak menggunakan apa yang dipelajari daripada kita,” katanya – Berita harian