LONDON: Kemeriahan kempen Liga Negara-Negara Eropah mungkin terjejas dengan keputusan UEFA untuk menjalankan pentas final sulungnya selang beberapa hari selepas final Liga Juara-Juara.

Pertembungan final Liga Juara-Juara akan diadakan di Wanda Metropolitano pada 1 Jun depan dengan aksi separuh akhir Liga Negara-Negara membuka kempen empat hari kemudiannya.

Tuan rumah Portugal dijadualkan turun dalam aksi sulung separuh akhir di gelanggang FC Porto pada 5 Jun dengan separuh akhir kedua diadakan 24 jam kemudian di Guimaraes.

Ia bermakna Portugal bersama tiga lagi finalis England, Belanda dan Switzerland, mungkin terpaksa melupakan khidmat pemain utama untuk pertemuan separuh akhir sekiranya khidmat mereka diperlukan.

England mungkin paling terjejas teruk, susulan mereka mempunyai empat pemain Manchester City dan empat pemain Liverpool yang dilihat berpotensi mara ke pentas final Liga Juara-Juara.

Belanda juga mempunyai dua pemain Liverpool, disamping penjaga gol simpanan Barcelona, Jasper Cillessen.

Portugal pula mungkin pergi tanpa bintang Juventus Cristiano Ronaldo yang masih belum beraksi pada saingan peringkat kumpulan Liga Negara-Negara dan rakan sepasukannya Joao Cancelo.

Malah, beberapa pemain mereka juga beraksi di Atletico Madrid, Barcleona, Bayern Munich, Borussia Dortmund, Inter Milan, Manchester City dan Napoli.

Hanya Switzerland dilihat mungkin tidak terjejas.

UEFA memutuskan untuk melangsungkan separuh akhir pada 5 dan 6 Jun depan sebagai perlawanan tunggal dengan negara Eropah lain beraksi dalam saingan kelayakan Euro 2020 pada 7 dan 8 Jun.

Aksi playoff tempat ketiga dan pentas final kempen Liga Negara-Negara Eropah dijadualkan berlangsung pada 9 Jun.

Peraturan FIFA menetapkan bahawa pemain mestilah dilepaskan untuk kejohanan utama 14 hari sebelum ia bermula namun Liga Negara-Negara dimainkan ketika rehat minggu antarabangsa dan UEFA tidak mahu melakukan sebarang perubahan ke atas Liga Juara-Juara dalam menjaga tahapnya. – AGENSI