TAIPING-Kepincangan yang berlaku kepada pengurusan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar akan dirungkai menerusi pelantikan firma audit bagi mengetahui punca permasalahan sebenar.

Pengerusi Jawatankuasa, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr. Abdul Aziz Bari berkata terdapat aduan mengenai salah guna kuasa termasuk pemberhentian kakitangan di universiti terbabit.

“Sekarang USAS sedang diaudit oleh sebuah firma audit terkemuka untuk mengenal pasti masalah dan dakwaan salah guna kuasa yang diajukan kepada kerajaan negeri oleh kakitangan pentadbiran, akademik dan pelajar.

“Kita menunggu laporan penuh dari juruadit yang dilantik, saya harap supaya pelajar, kakitangan universiti yang dikatakan dibuang itu bersabar supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan adil, agar tidak ada pihak yang teraniaya,”katanya.

Abdul Aziz berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pelajar Maktab Rendah Sains Mara Taiping yang terlibat dengan kes keracunan makan di sini pada Rabu.

Dalam pada itu kegagalan kerajaan terdahulu untuk meletakkan USAS di bawah pentadbiran pusat seterusnya menjadikannya sebagai Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) menjadi punca kepada kepincangan yang berlaku sekarang.

“Bila mereka gagal menjadikan USAS IPTA sebagaimana yang dijanjikan dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar, seterusnya ia menjadi beban kepada kita ditambah dengan masalah lain yang timbul ekoran dari janji itu.

“Ada staf yang dibuang dan ditamatkan kontrak dengan sebab yang meragukan, termasuk pemberian pangkat yang meragukan.

“Termasuk penyelewengan seperti kantin yang diberikan kepada kroni dan sebagainya hingga menyebabkan beban kepada pelajar, aktiviti persatuan-persatuan yang tidak sepatutnya ditubuhkan di sebuah universiti,”ujarnya.