HUTAN MELINTANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya telah diberi tanggungjawab secara rasmi untuk mengendalikan program #FitBaganDatuk setiap bulan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk membuat pengumuman itu semasa berucap merasmikan program #FitPerak di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk pada Sabtu.
Beliau mahu melihat penduduk Bagan Datuk dari segenap lapisan masyarakat mengamalkan amalan sihat dalam menjalani kehidupan mereka.
“Jangka hayat rakyat Malaysia hari ini lelaki 73 tahun dan perempuan 75 tahun…ini membuktikan bahawa mereka telah mula mengamalkan amalan hidup sihat, “katanya.
Menurut beliau, Perak merupakan negeri pertama yang menyahut saranan Kerajaan Persekutuan bagi menganjurkan #FitPerak.
Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata kerajaan negeri mengambil pendekatan program itu untuk melihat rakyat sentiasa menjaga kesihatan diri.

“Hari ini saya melihat begitu ramai penduduk Bagan Datuk termasuk golongan muda mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti sukan seperti larian dan berbasikal,” ujarnya.
Antara aktiviti Program #FitPerak yang dianjurkan di Bagan Datuk termasuk larian, berbasikal, senamrobik dan karnival.

Kira-kira 5,000 peserta mengambil bahagian dalam acara itu yang bermula seawal jam 7 pagi.