KOTA BHARU: Fitnah adalah racun yang sangat dahsyat kesannya kerana boleh membunuh fikiran, perasaan dan naluri manusia yang menjadi mangsa, kata Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Mohamad Shukri berkata, berikutan itu al-Quran menyatakan perbuatan melemparkan itu lebih dahsyat daripada membunuh.

“Al-Quran memberi penjelasan yang begitu jelas bahawa fitnah terbabit lebih dahsyat daripada pembunuhan.

“Racun fitnah ini boleh membunuh fikiran, perasaan dan naluri manusia, jadi kita perlu jauhkan diri daripada membuat fitnah,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Mohamad Shukri berkata, sekiranya individu yang melakukan fitnah ingin bertaubat, ia tidak boleh diselesaikan dengan hanya memohon ampun dan bertaubat kepada Allah saja.

“Mereka yang melakukan fitnah mesti kembalikan hak orang difitnah, baru dia memenuhi syarat taubatnya itu.

“Contohnya, sekiranya kita jatuhkan maruah dengan memfitnah perdana menteri, jadi perlu minta maaf kepadanya secara individu supaya taubat itu diterima,” katanya.

Sehubungan itu sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang sedang berlangsung, beliau berharap semua calon parti politik yang bertanding berkempen secara sihat.

“Dalam berkempen, semua parti sentiasa mewar-warkan janji perkhidmatan terbaik untuk kebaikan negara. Namun, bolehkah kita lakukan perkara yang tidak baik iaitu secara memfitnah untuk mencapai perkara yang baik

“Perlu berkempen secara sihat dengan menyatakan perkara yang benar dan tidak boleh menyatakan perkara yang boleh menimbulkan fitnah kerana ia boleh memecah belahkan masyarakat,” katanya – berita harian