IPOH – Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim membidas tindakan pihak tidak bertanggungjawab cuba memainkan isu perkauman susulan pendedahan satu surat dikeluarkan Kementerian Kesihatan yang tular dalam media sosial hari ini.

Hasnul Zulkarnain yang juga Ketua Pemuda PH Perak berkata, tindakan pihak tertentu menularkan surat rasmi daripada KKM kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak ke dalam media sosial sebenarnya bermotifkan fitnah dengan cuba memainkan isu perkauman sempit.

Menurutnya, motif sebenarnya permohonan penukaran alamat pejabat jabatan itu dari Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab kepada Jalan Koo Chong Kong bukanlah disebabkan nama jalan itu ditukarkan pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri.

“Untuk makluman semua, Jalan Koo Chong Kong telah lama wujud.

“Pengarah Jabatan Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming memohon pertukaran alamat kerana bangunan jabatan itu lebih berhampiran dengan Jalan Koo Chong Kong berbanding Jalan Panglima Bukit Gantang.

“Ini barangkali menyebabkan ramai yang terkeliru untuk pergi ke sana serta proses surat menyurat dan sebagainya menghadapi kesukaran,” katanya melalui satu kenyataan dimuat naik dalam laman Facebook rasmi beliau di sini hari ini.

Hasnul Zulkarnain berkata, tindakan permohonan Jabatan Kesihatan Negeri Perak itu berasas kerana kalau dilihat melalui aplikasi Google Map, memang jelas kedudukan bangunan jabatan itu dengan jalan yang berhampiran iaitu Jalan Koo Chong Kong lebih dekat.

Menurutnya, bangunan Tabung Haji (TH) Perak yang berhampiran bangunan Jabatan Kesihatan Perak telah lama menggunakan alamat jalan itu di bawah ‘Aras 1 & 2, Menara TH Jalan Koo Chong Kong 30000, Ipoh’.

“Saya meminta semua rakyat negara ini berhati-hati dalam menyebarkan berita dan jangan termakan dengan sentimen jahat atas perkara fitnah yang mampu mengundang suasana yang tidak baik,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian mendapati satu surat rasmi dikeluarkan KKM memaklumkan kelulusan permohonan JKN Perak menukar alamat dari Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab kepada Jalan Koo Chong Kong mula tular dalam laman media sosial sejak awal pagi ini.

Penularan surat rasmi itu menimbulkan salah faham dalam kalangan warga netizen yang menyangkakan kerajaan negeri Perak bertindak menukarkan nama Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab kepada Jalan Koo Chong Kong tanpa memaklumkan kepada rakyat Perak – sinar harian