IPOH – “Saya memang beli ikan (flowerhorn) itu untuk makan dan saya tidak berfikir apa-apa yang pelik pun,” kata Muhammad Firdaus Othman, 28.

Kisah Muhammad Firdaus mula tular di media sosial selepas dia memuat naik gambar dan video proses memasak ikan flowerhorn di laman sosial Facebook pada 12 Julai lalu.

Tindakannya itu mengundang pelbagai reaksi netizen dari dalam dan luar negara memandangkan ikan flowerhorn dikategorikan sebagai ikan hiasan.

Menurutnya, sedikit pun dia tidak menyangka kisahnya akan tular di media sosial kerana status dimuat naik itu hanya sekadar perkongsian biasa seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Ikan itu dibeli daripada seorang sahabat dengan harga RM2,845 pada 11 Julai lalu. Keesokan harinya, sebelum ke tempat kerja, kira-kira jam 10 pagi saya goreng ikan itu menggunakan bahan ringkas iaitu kunyit serta garam dan menjamahnya bersama rakan serumah.

“Rasa ikan itu seperti ikan tilapia tetapi lebih enak. Setakat ini, saya serta rakan tidak mengalami kesan sampingan selepas makan ikan tersebut. Bagi orang ramai yang tertanya-tanya apa kandungan bonjol di kepala ikan itu, terdapat kandungan lemak dengan sedikit daging dalam benjolan tersebut.

Saya buang bahagian itu dan goreng bahagian badan ikan sahaja,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Usahawan dalam bidang permotoran itu berkata, ramai juga netizen yang mengecam tindakannya dan tidak kurang juga yang menganggap ia lucu.

“Saya banyak menerima mesej dari netizen luar negara melalui Facebook memarahi tindakan saya.

Tetapi saya menerimanya dan menjawab segalanya dengan tenang,” kata bekas penuntut bidang Mekanikal Automotif Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Sehingga jam 2 petang semalam, status Facebook Muhammad Firdaus yang menggunakan nama akaun, ‘Saya Cakap’ mendapat lebih 22,000 perkongsian (share), 4,800 respons (like) dan 5,900 komen sejak dimuat naik lima hari lalu,

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Perak, Dr Bah Piyan Tan berkata, setakat ini ikan flowerhorn dikategorikan sebagai ikan hiasan.

Katanya, ikan tersebut boleh diternak untuk tujuan ikan hiasan tetapi perlu mematuhi syarat biosekuriti ditetapkan Jabatan Perikanan.

“Sebelum ini kita tahu ada orang yang makan ikan arowana walaupun ia dikategorikan sebagai ikan hiasan. Bagaimanapun, ini adalah kali pertama saya dengar orang makan ikan flowerhorn di Malaysia.

“Penternak boleh mengeksport ikan tersebut tetapi tidak boleh diimport. Walau apa pun, penternak perlu mengikut segala syarat yang ditetapkan Jabatan Perikanan,” katanya.

-Sinarharian