Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak mahu perlaksanaan manifesto dalam tempoh 100 hari diberi keutamaan agar kerajaan Pakatan Harapan dapat terus mendokong harapan rakyat di negeri ini.

Pengerusinya, Dr Muhammad Nur Manuty berkata kesemua manifesto kerajaan negeri yang dibentangkan kepada rakyat sebelum ini hendaklah segera dilaksanakan bagi mengelak kekecewaan rakyat dan perkara itu juga telah dibincangkan di Majlis Pakatan Harapan negeri.

“Saya rasa semua manifesto yang kita cakap di dalam..yang kita kemukakakn kepada rakyat Perak..kerajaan negeri hendaklah cepat melaksanakannya dalam masa 100 hari ini, seberapa (banyak) yang boleh.

“Kita telah bincangkan perkara itu di Majlis Pakatan Harapan tempoh hari, meminta perkara itu diberikan perhatian yang serius, nanti kita bimbang pula rakyat Perak juga rasa kecewa kalau dalam masa sehari dua ini, satu dua perkara yang patut diutamakan tidak kita lakukan,”katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa PKR Negeri Perak bersama media di sini, hari ini.

Dr Muhammad Nur Manuty juga mengulas lanjut mengenai pendekatan terbuka pihak kerajaan Pakatan untuk menangani sebarang masalah yang ditimbulkan pihak yang tidak puas hati sebaik pejabat kerajaan kembali beroperasi setelah cuti panjang sempena Syawal ini.

“Saya rasa, platform kita yang terbaik, kami sekarang bermesyuarat setiap minggu pertama dan ketiga pada hari Jumaat, jam empat petang. Jadi, penting dalam keadaan kita diberikan peluang diberikan mandat, rakyat berkuasa di negeri Perak.

“Majlis Pakatan Harapan negeri hendaklah efektif, kerana itu kita telah menekankan dua kali sebulan berjumpa. Apa-apa polisi kerajaan, boleh kita bahaskan dalam mesyuarat dwi-mingguan, dan ini turut dapat menepati perjuangan PH negeri,”ujarnya lagi.