PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan segera memperluaskan program Foodbank Malaysia ke kampus universiti awam bagi menyalurkan bantuan makanan kepada mahasiswa yang memerlukan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata isu mahasiswa ‘ikat perut’ yang dilaporkan BH mendapat perhatian Kabinet dan topik itu dibincang secara mendalam bersama Jemaah Menteri.

“Saya sendiri telah berjumpa dengan 20 Timbalan Naib Canselor Universiti Awam dan mereka bersetuju mengadakan program Foodbank Malaysia di kampus universiti masing-masing dengan kadar segera.

“Isu mahasiswa lapar ini secara peribadi amat dekat di hati saya, dan saya akan berikan sepenuh masa untuk selesaikan isu kepayahan mahasiswa ini secepat mungkin,” katanya.

BH semalam dan hari ini melaporkan sejumlah pelajar universiti awam dari kumpulan B40 dan miskin tegar hanya makan sekali sehari kerana kesempitan wang.

Saifuddin berkata, kementerian memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi mendapatkan komitmen daripada pasar raya untuk menyumbangkan makanan berlebihan yang masih selamat untuk diagihkan kepada ahli keluarga B40 termasuk mahasiswa – berita harian