IPOH: Polis Perak memberi jaminan keadaan di semua formasi polis termasuk balai-balai di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah berada dalam keadaan terkawal berikutan sistem keselamatan telah dipertingkatkan, sejak tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Gan Tian Kee berkata, setelah arahan dikeluarkan, semua kawasan formasi polis berada dalam pemantauan rapi dari sebarang ancaman terutama berkaitan Daesh.

“Arahan untuk pertingkatkan kawalan telah dikeluarkan sejak tahun lalu dan setakat ini, Perak berada dalam keadaan terkawal meskipun ada berlaku penangkapan melibatkan suspek Daesh,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Memperingati Hari Polis ke 210 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak, pada pagi Sabtu.


Semalam (Jumaat),  dalam satu kenyataan kepada media, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan berjaya mematahkan cubaan serangan daripada anggota kumpulan pengganas Daesh ke atas balai polis di Tapah.

Lelaki berusia 31 tahun dan bekerja sebagai pembantu kedai makan itu antara sembilan suspek ditahan selepas disyaki terlibat dengan aktiviti kumpulan pengganas Daesh dan  merancang untuk melancarkan serangan ke atas balai polis di Tapah.