KOTA MARUDU: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, satu formula dalam kalangan parti Barisan Nasional (BN) Sabah perlu dibuat untuk meningkatkan majoriti undi, sekali gus memastikan kemenangan BN di Parlimen Kota Marudu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Timbalan Perdana Menteri berkata, formula itu harus dilakukan menerusi perundingan dan persetujuan serta diperakukan oleh parti yang berunding.

Ini kerana, katanya, BN pernah ‘tertampar’ dengan kekalahan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong dan kemenangan yang agak kecil di Parlimen Kota Marudu pada PRU-13 lalu.

Justeru, beliau berkata, semua pihak berusaha menentukan sokongan kepada kerusi Parlimen Kota Marudu dapat ditingkatkan, seterusnya usaha mengambil alih kerusi di DUN Matunggong akan dijalankan sepenuhnya.

“Apa yang penting kita harus ada formula dan ia perlu dilakukan dengan rundingan dan mendapat persetujuan. Ini kerana tujuan formula itu adalah untuk menentukan kemenangan.

“Kita menghormati prinsip persetujuan dalam parti BN dan cara penghormatan itu adalah dengan mempersetujui kerusi yang ditentukan harus diperakukan.

“Ini penting di pusingan akhir kerana kita tidak mampu untuk ada sebarang masalah sebab kita tahu sentimen di bawah (akar umbi),” katanya pada sidang media selepas majlis Pemimpin Bersama Rakyat di sini, hari ini.

Yang turut hadir, isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Dr Seri Maximus Ongkili dan Ketua UMNO Kota Marudu, Datuk Wetrom Bahanda.

Pada PRU-13, calon BN, Sarapin Magana yang bertanding atas tiket Parti Bersatu Sabah (PBS) gagal mempertahankan DUN Matunggong selepas tewas kepada Datuk Jelani Hamdan yang bertanding atas tiket PKR.

Selain DUN Matunggong, Parlimen Kota Marudu mempunyai satu lagi DUN iaitu Tandek yang diwakili Datuk Anita Baranting daripada PBS.

AHMAD Zahid bersalam dengan orang ramai yang hadir pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kota Marudu, hari ini. – Foto Malai Rosmah Tuah
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, selain formula, kajian terhadap sokongan perlu diambil kira untuk membantu meningkatkan kemenangan BN.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, beliau percaya kerjasama secara adik-beradik dalam parti komponen BN, membolehkan calon parti itu mencapai kemenangan di semua kerusi dalam Parlimen Kota Marudu.

“Rugi jika kita bergaduh sesama sendiri… jika semua bersatu di bawah panji BN, kita mampu mempertahankan Parlimen Kota Marudu, DUN Tandek dan merampas DUN Matunggong. Kita perlu sokong siapa saja calon BN,” katanya.

Beliau berkata, daerah Kecil Matunggong juga akan dinaik taraf sebagai daerah penuh jika BN diberi mandat memerintah semula Sabah selepas PRU-14 ini.