IPOH – Pelaksanaan program Fresh Pinji yang memberi fokus terhadap kesedaran komuniti dalam menangani masalah banjir kilat dan sampah akan dijadikan projek perintis di bawah Axiata Foundation Young CEO Development Programme (YCDP).

Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How berkata, di bawah program itu, YCDP dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diberi tanggungjawab mencari resolusi baru menangani isu setempat.

“Bagi kawasan Pasir Pinji, masalah utama dihadapi penduduk adalah banjir kilat yang disebabkan sistem saliran kerap tersumbat. Punca utama adalah sisa sampah daripada penduduk setempat dan masalah itu tidak akan dapat diselesaikan selagi mentaliti rakyat yang menjadikan longkang sebagai tapak pembuangan sampah tidak berubah.

“Jadi kita gerakkan program ini menerusi kaedah pencegahan dan kesedaran sebagai usaha awal ke arah memerangi kedua-dua. Masalah itu, sekiranya berjaya ia akan dijadikan contoh atau seterusnya sebagai dasar kerajaan negeri dalam menangani masalah sama di tempat lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Fresh Pasir Pinji di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK) (C) Pasir Pinji 1 hari ini.

Howard menyertai dua murid menyiapkan mural sempena program Fresh Pinji hari ini

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji berkata, menerusi program itu, dua perangkap sampah dengan kos RM3,000 telah dipasang di saluran utama sekolah bertujuan memerangkap sisa yang mengalir ke Sungai Pinji.

Katanya, MBI bersama YCDP akan bertindak bersama sebagai pemantau untuk menentukan sama ada jumlah sampah yang dibuang masih meningkat atau sebaliknya.

“Kita sedang mengenal pasti mana-mana NGO setempat untuk bersama menangani hal ini, kita juga akan perhatikan sama ada perubahan sikap dalam masyarakat dapat membantu menyelesaikan isu ini,” katanya.

Seramai 250 murid sekolah turut serta dalam program berkenaan, selain mengikuti taklimat daripada MBI dan JPS, mereka juga terlibat dalam aktiviti gotong-royong dan menghasilkan mural di sekitar kawasan sekolah.