PETALING JAYA: Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 mengkritik undang-undang murtad, mengatakan keputusan seorang Islam untuk keluar agamanya antara individu itu dengan Tuhan.

Dalam kertas “Administration of Matters Pertaining to Islam”, kumpulan itu berkata, undang-undang negeri menghukum murtad, sama ada dengan denda, pemenjaraan atau pemulihan, tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.

“Perkara 11(1) memberi jaminan kepada semua orang di Malaysia, bukan hanya warganegara atau bukan Islam, 3 hak yang berbeza, iaitu, hak menganut, mengamalkan dan menyebarkan agamanya,” katanya.

“Tidak ada asas yang dibenarkan perlembagaan untuk melarang penganutan agama seseorang.”

Kumpulan itu bagaimanapun maklum hak beramalan tertakluk kepada undang-undang umum berkaitan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam dan prinsip moral.

Menurut perlembagaan, negeri-negeri dibenarkan mengawal atau menyekat penyebaran mana-mana doktrin agama atau kepercayaan dalam kalangan orang Islam.

Dari segi perspektif Islam, G25 maklum, tiada orang boleh dipaksa mempercayai Tuhan. Oleh itu tiada mana-mana orang boleh dipaksa kekal dalam Islam, katanya.

Namun kumpulan itu menambah: “Meninggalkan Islam adalah sesuatu yang dikesali. Seorang Islam yang mahu mengambil pilihan itu harus diyakinkan untuk kekal Islam.

“Bagaimanapun sekiranya dia tetap mahu meninggalkan Islam, maka itu antaranya dengan Tuhan. Tidak ada hukuman duniawi yang diperuntukkan dalam Al-Quran.”

Katanya, masyarakat demokrasi akan musnah sekiranya kebebasan berfikir, hati nurani dan agama tidak dihormati.

Kumpulan itu memaklumkan Malaysia pernah ada undang-undang yang mengesahkan seorang itu sudah murtad.

“Undang-undang itu sudah dimansuh dan digantikan dengan peruntukan undang-undang yang tidak jelas di kebanyakan negeri” yang membolehkan Mahkamah Tinggi Syariah mengisytiharkan seseorang itu bukan lagi seorang Islam.

Hanya Negeri Sembilan mempunyai proses terperinci untuk meninggalkan Islam.