Oleh Intan Baha

Muzium Telegraf Taiping dahulunya dikenali sebagai Pejabat Pos dan Telegraf yang pertama di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan telegram, telefon, pos dan kemudahan perbankan sehenti untuk orang ramai pada waktu itu semasa zaman Kolonial British di Tanah Melayu pada abad ke-18.

Selari dengan perkembangan industri, pejabat ini juga pernah digunakan sebagai Pejabat Kelab Jabatan Telekom dan Pejabat Operasi Teknikal Telekom Malaysia.

Muzium ini terletak di tengah-tengah bandar Taiping iaitu kira-kira 67 kilometer dari Ipoh. Ia berada di penghujung laluan keretapi terawal di Malaysia yang menghubungkan Taiping dan Kuala Sepetang.

Muzium Telegraf ini bukan sahaja merupakan Muzium Telegraf yang pertama di Malaysia malahan di Asia Tenggara.

Menyorot kembali sejarah pembinaannya, Suara Perak berpeluang bertemu dengan Koordinator Muzium Telegraf Adnan Abdul Rahman yang berkongsi cerita mengenai Pejabat Pos dan Telegraf Taiping ini.

“Pada ketika itu, pejabat ini berfungsi untuk mengirim telegram dan surat dari London ke Malaya, Taiping dan sebaliknya. Proses pengiriman masih lagi melalui Pulau Pinang atau Singapura kerana tiada perhubungan terus dengan Taiping.

“Walalupun Pejabat Telegraf ini ada di sini tetapi perhubungan berperingkat dari London ke Singapura, Singapura turun ke Pulau Pinang ataupun Melaka terus ke Taiping. Ketiga-tiga tempat pelabuhan yang dipanggil Negeri-Negeri Selat, Pulau Pinang, Melaka dan Singapura mempunyai kemudahan pelabuhan dan lain-lain,” kata beliau.

Adnan Abdul Rahman

Menurut Adnan, di Taiping juga ada pelabuhan di yang berada Teluk Kertang, Port Weld, atau kini dikenali sebagai Kuala Sepetang. Jika dilihat dalam buku-buku lama ada dicatatkan ada perhubungan keretapi daripada Port Weld ke Taiping, Taiping ke Port Weld. Apabila pejabat ini siap dan digunakan pada 1885, ia mengendalikan barang-barang pos, dan juga telegraf.

Kemudahan telefon yang pertama dipasang dari Port Weld ke Taiping dan dari Taiping ke Kuala Kangsar. Selepas itu telegraf berkembang ke seluruh Malaya.

 

 

Di Sini Segalanya Bermula

Taiping yang mempunyai banyak sejarah khazanah warisan negara termasuk `33 first’ iaitu 33 perkara atau pembinaan yang pertama di negara ini yang dibuat di Taiping seperti pembinaan landasan keretapi pertama, muzium pertama, penjara pertama dan taman tasik pertama.

“Taiping merupakan lokasi pilihan utama British pada abad ke-18 kerana cuacanya yang sejuk dan lembab. Kawasan tumpuan ialah di sebelah Bukit Jelutong, yang menempatkan kediaman Timbalan Residen memandangkan ia adalah kawasan tanah tinggi serta berhampiran dengan kawasan Taman Tasik Taiping yang mempunyai taman yang cantik serta pokok hijau,” kata Adnan.

British mengambil keputusan untuk membina pejabat telegraf bertitik tolak kepada fungsi bandar ini yang menjadi hub perniagaan mereka pada ketika itu iaitu bijih timah dan getah.

Setelah insiden Residen British Pertama JWW Birch dibunuh pada 2 November 1875 di Pasir Salak, dan peristiwa pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Henry Lovell Goldsworthy Gurney pada 6 Oktober 1951 ketika dalam perjalanan ke Bukit Fraser, pihak British berpendapat mereka memerlukan alat perhubungan yang cepat untuk menghubungi pihak British samada di negeri Selat ataupun di tempat-tempat lain untuk meminta bantuan, sekiranya kejadian yang sama berlaku di negeri lain.

Dari Pejabat Pos dan Telegraf Menjadi Muzium Telegraf

Pejabat Telegraf yang telah berusia 135 tahun ini mewakili identiti nasional dan juga merupakan kemucak kepada sejarah telekomunikasi terawal di negara kita.

Bangunan ini merupakan salah sebuah bangunan kolonial yang terawal di Perak. Ianya dibina oleh Jabatan Kerja Raya, Kerajaan Negeri Perak di bawah seliaan jurutera St. Caufield. Pembinaannya dimulakan pada tahun 1883 dan siap pada tahun 1885 melibatkan kos sejumlah 4,070 Straits Dollars.

Sistem telegraf dan laluan keretapi yang wujud di sini telah menjadi salah satu faktor penting dalam perkembangan industri perlombongan bijih timah di Larut seterusnya menjana ekonomi di Tanah Melayu pada ketika itu.

Muzium Telegraf ini terletak di penghujung laluan keretapi yang pertama di Malaysia iaitu di utara Taiping di Kuala Sepetang yang dulunya dikenali dengan nama Port Weld ia menghubungkan kawasan-kawasan perlombongan yang ketika itu amat penting untuk perkembangan ekonomi semasa era pemerintahan British.

Bangunan ini dibina menggunakan teknik konvensional iaitu menggunakan bata tanah liat dan cat kapur.

Reka bentuk yang menampilkan seni bina gaya Queen Anne pada era 1880-an hingga 1890-an ditonjolkan melalui gerbang Masonry dan tiang batu bata Scaly di semua sisi bangunan.

Struktur asas bangunan dan dinding menggunakan batu-bata tanah liat jenis English Bond , manakala rangka utama, tingkap, pintu dan lantai dihasilkan daripada kayu merbau, kayu meranti merah dan kayu pokok durian.

Bumbungnya pula diperbuat daripada atap genting seramik sementara dinding bangunan ini dilepa dengan bancuhan batu kapur.

Peranan Pokok Gutta Percha

Menurut Adnan, muzium ini dibina dengan menampilkan tiga seksyen utama iaitu lanskap, pondok telefon lama dan juga pusat sumber.

“Lanskap muzium ini berkaitan dengan telegraf, di mana terdapatnya pokok-pokok seperti pokok Gapis, Tempinis, Merbau, Cengal, Tembusu semua kayu-kayu jenis Gred A dan kayu keras yang digunakan untuk membina tiang-tiang telegraf pada masa dulu oleh kerana British.

“Apabila British menyedari kayu-kayu ini amat bernilai tinggi maka mereka memberhentikan penggunaan kayu untuk tiang-tiang telegraf sebaliknya digantikan dengan tiang besi yang kita terpaksa beli daripada mereka,” tambah beliau.

Pokok yang menjadi penyumbang utama dalam perkembangan telekomunikasi di Tanah Melayu ialah Pokok Nyatoh Taban Merah. Ia merupakan sejenis pokok yang terdapat di hutan Malaysia dan negara-negara Asean yang lain.

Nama botaninya ialah Palaquium Gutta dan dikenali sebagai pokok Getah Perca oleh penduduk tempatan.

“Orang kampung ambil daun dan upar (perbuatan meramas daun dengan menggunakan kedua-dua tapak tangan seperti bersalam berulang-ulang) untuk mengeluarkan getah yang digunakan untuk menjerat burung.

“Apabila British dapati daun ini istimewa, bila buat begitu keluar getah, mereka dapati getah dari daun tersebut amat tinggi nilainya. Kerana getahnya diperolehi dari daun segar bukan dari batang atau kulit pokok.

“Getah yang terhasil digunakan sebagai penebat kabel dasar laut pertama di dunia pada tahun 1849,” kata Adnan.

Kabel-kabel ini menghubungkan system kabel dasar laut dunia dari United Kingdom ke Uatralia termasuk Pulau Pinang.

Penggunaan Teknologi untuk Menarik Minat Pengunjung

Pihak muzium turut mengabadikan dua pondok telefon yang menggunakan system dail dan akan membaikpulih kedua-dua telefon tersebut agar boleh digunakan semula untuk mengembalikan nostalgia dan memberi pengalaman menggunakan telefon itu kepada generasi kini.

“Untuk menjadikan pengalaman ke Muzium Telegra ini sebagai suatu perkara yang menarik, pihak muzium telah membangunkan aplikasi yang akan membantu memberikan deskripsi mengenai artifak yang dipamerkan.

“Setiap tiket masuk akan disertakan dengan kata laluan unik yang membolehkan para pengunjung menggunakannya untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai artifak yang dipamerkan. Malah, maklumat dan gambar boleh disimpan didalam emel sebagai rujukan dan maklumat yang boleh disimpan selama 24 jam serta boleh dikongsi dengan rakan-rakan lain atau tujuan rujukan,” katanya yang menyifatkan muzium haruslah bergerak seiring dengan peredaran zaman agar ia mampu menarik minat pengunjung.

Adnan Abdul Rahman

Adnan juga berkata kebanyakan artifak yang dipamerkan merupakan inisiatif dari pihak pengurusan muzium untuk mengumpulkan artifak terutama dari bahagian utara.

Selain penggunaan teknologi bagi tujuan menarik pengunjung, Adnan menerangkan mereka juga dibenarkan untuk menggunakan kemudahan Telegram Ucapan untuk merasai sendiri pengalaman menghantar mesej menggunakan Kod Morse.

Jabatan Pos dan Telegraf (P&T) telah memainkan peranan penting dalam pembangunan sistem telekomunikasi negara dan Telekom Malaysia Berhad (TM) melalui Yayasan TM yang bertanggungjawab untuk mengekal dan memelihara khazanah negara kita untuk generasi akan datang.

Penubuhan Muzium Telegraf ini bakal menjadi tarikan pelancong terbaru di Perak khususnya dan di Malaysia amnya. Muzium ini mengetengahkan sejarah system telekomunikasi telegraf termasuklah kemunculan awalnya di Negara ini dan bagaimana teknologi tersebu telah menyumbang kepada pembangunan Negara.

Diharapkan Muzium Telegraf ini akan menjadi lokasi bagi para pelajar, pengkaji dan masyarakat dari dalam dan luar Negara untuk meningkatkan pemahaman mereka mengenai khazanah telekomunikasi negara dan sistem komunikasi telegraf.

Jadual/Info Box:

DETIK SEJARAH KOMUNIKASI MALAYA

1843 Gutta Percha dari Malaya telah diterbangkan ke Berlin sebagai bahan penebat kabel telegraf

1848 Telegraf Dasar Laut yang Pertama adalah menggunakan Gutta Percha

1876 Litar Telegraf Dalaman Pertama dilancarkandi Negeri-negeri Melayu

1/5