BAGAN DATUK: Program Pemukiman YAB Menteri Besar Perak kali kelima yang diadakan di Daerah Bagan Datuk bermula hari ini (Selasa) bukan sahaja menyaksikan gabungan dua pemimpin tertinggi pusat dan negeri – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, malah membawa misi penting dalam memenuhi harapan penduduk daerah baharu itu.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk akan turun padang bersama-sama Dr Zambry serta barisan Exco untuk bertemu rakyat selepas Bagan Datuk diisytiharkan sebagai daerah ke – 12 pada 9 Januari lalu.

Sebanyak 95 program diatur bersama penduduk Bagan Datuk sepanjang lima hari Pemukiman itu yang bermula 17 hingga 21 Januari.

Antara program diatur termasuk Mini Karnival Kementerian Dalam Negeri (KDN), Perlawanan Bola Sepak Team MB menentang Veteran Bagan Datuk, Ceramah Perdana Datuk Kazim Elias, perjumpaan bersama masyarakat Cina dan India serta Fit Perak.

Timbalan Perdana Menteri akan bersama-sama menyertai program pada Jumaat dan Sabtu termasuk qiamullail dan solat subuh di Masjid Alkhairiah, Selekoh bersama penduduk Rungkup mulai jam 3 pagi Jumaat.

Beliau juga akan menyertai program Karnival Mahabbad Bersama Institusi Agama Islam Negeri Perak dan Program Jom Menabung SSPN-I bersama PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional),

Menteri Besar pula secara rasminya mengikuti program pemukiman pada Rabu, bermula dengan program sarapan pagi dan kunjungan mesra dengan rakyat setempat di tapak Pekan Kecil Bagan Datuk.

Beliau akan menyertai lapan program di DUN (Dewan Undangan Negeri) Rungkup dan lapan lagi di DUN Hutan Melintang manakala program lain dihadiri anggota Exco mengikut portfolio masing-masing.

Pemukiman YAB Menteri Besar yang dianggap  istimewa ini meneruskan sasaran dan matlamatnya  untuk mendekati, menyelami permasalah rakyat secara lebih dekat dan mengambil pendekatan penyelesaian.