IPOH: Bukan mudah untuk menceburi bidang perniagaan di dalam keadaan ekonomi yang mencabar di negara ini, apatah lagi untuk menembusi pasaran antarabangsa dengan produk tempatan.

Namun bagi Mohd Joneidi Othman, ia adalah asam garam perniagaan dan risiko itulah yang membuatkannya menjadi lebih berani untuk mencapai impian mengembangkan produk Aiskrim Zam-zam ciptaannya sendiri.

Malah, usahanya itu menarik perhatian tenaga pengajar Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah untuk mencipta sebuah mesin aiskrim khas bagi meningkatkan pengeluaran aiskrim halal yang semakin menempa nama di pasaran Asia.

Melalui kerjasama dengan Public Private Research Network (PPRN), sebanyak RM 39,800 telah dibelanjakan untuk membina sebuah mesin berkapasiti tinggi yang mampu menghasilkan 100,000 bekas aiskrim secara automatik.

Joneidi berkata, antara cabaran utamanya ketika memulakan perniagaan adalah faktor tenaga kerja yang tidak menentu, kos pemasangan mesin konvensional serta pulangan modal yang tidak tetap.

“Dulu, saya hanya mampu menghasilkan 330 bekas aiskrim dan memakan masa yang banyak, tenaga kerja serta adunan yang sentiasa perlu diperiksa, namun kini semuanya berubah dengan mesin “Multisize Filling Ice Cream” ini.

Poli 4

“Dalam masa 3 jam setengah sahaja, mesin itu boleh mengeluarkan 100,000 bekas atau 300 kali ganda daripada pengeluaran konvensional, hanya memerlukan seorang pekerja sebagai penyelia mesin kerana ia beroperasi secara automatik,” katanya ketika ditemui Suara Perak di Majlis Penyerahan Produk PPRN 2017 di RTC Gopeng , di sini pada petang Rabu.

Joneidi merupakan salah satu penerima produk PPRN yang direka khusus bersama dengan tenaga pengajar serta pelajar daripada jurusan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Turut mendapat manfaat daripada program itu ialah Lalida Maenoh, 55, yang kini mampu menggunakan mesin itu untuk mendapatkan keuntungan dengan kadar minima serta kos penyelenggaraan yang jauh lebih rendah.

Katanya, dia telah berkecimpung dalam pembuatan, pemasaran, pengadunan serta penjualan coklat sejak 2011, namun tidak mempunyai peluang untuk memasarkan resepi coklatnya itu secara komersial dan ke peringkat antarabangsa.

“Kebiasaannya, produk coklat saya memerlukan empat atau lima pekerja untuk meletakkan coklat, tetapi kini, Mesin Acuan Coklat Bar yang diilhamkan oleh pensyarah dan pelajar politeknik, saya berjaya menghasilkan pelbagai potongan coklat di samping menjimatkan masa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Pendidikan Politeknik, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Azizi Lin berkata, kerjasama di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara politeknik, PPRN dan usahawan merupakan perintis bagi membantu lebih ramai usahawan untuk berjaya.

“Objektif utama kita adalah memberi idea untuk produk inovasi berteknologi tinggi kepada PPRN dan melalui perkongsian kepakaran, ia dapat membantu meningkatkan mutu kerja dan kualiti produk,” ujarnya.

 

Poli