IPOH– Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak mendedahkan bagaimana sebuah syarikat kurang dari lima bulan tanpa sebarang profil dan syarikat “dua ringgit” saja dengan dua orang individu pemegang saham telah diberikan tanah seluas 400 hektar.

Ketua gabungan itu, Thomas Su Keong Siong mendakwa syarikat berkenaan diberikan tanah 400 hektar di dua kawasan iaitu Kledang Saiong dan Bukit Kinta untuk projek pembangunan ladang hutan dalam hutan simpan.

Beliau menyifatkan isu ini sebagai satu perkara yang tidak betul dan memerlukan campur tangan SPRM bagi mengesan salah laku dalam transaksi berkenaan.

“Jadi apa yang kami nak tahu sekarang bilakah syarikat ini memohon permit, sebab ia baru lima bulan beroperasi dan kenapa kelulusan premit ini diberi kepada syarikat ini dan bukan syarikat lain.

“Isu lebih penting lagi ialah Menteri Besar tidak tahu bila tanah ini dikeluarkan sebagai status hutan simpan… dia (Ahmad Faizal) perlu jawab kerana bagi kami hutan simpan perlu dikekalkan.

“Ia menimbulkan keraguan kepada rakyat Perak dan saya menerima banyak panggilan berhubung isu ini,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di perkarangan bangunan SPRM di Meru Raya, di sini pada Isnin.

Thomas juga berkata, beliau hairan ramai petani di kawasannya yang telah mengusahakan tanaman di tanah kerajaan berpuluh tahun, namun mereka gagal mendapat lot tanah.

“Apa yang berlaku sekarang, semua tanah diberikan kepada MB Inc, SADC dan agensi kerajaan lain, jadi kenapa petani yang telah berusaha sekian lama tidak mendapat tanah sedangkan syarikat baru lima bulan dapat,”katanya dan menambah perkara ini perlu ditangani segera.

Katanya lagi, di bawah kerajaan Malaysia baru, semua perkara lama yang berlaku di bawah kerajaan lama tidak boleh diterima lagi dan penting untuk kerajaan Perak meneliti semula polisi pemberian tanah sedemikian.

“Ini penting kerana bagi saya pemberian 400 hektar tanah ini untuk tempoh lima puluh tahun dan ia diperbaharui setiap tahun, saya menggesa Menteri Besar ambil tindakan hentikan segala aktiviti syarikat ini.

“Sekiranya ada kawasan yang belum diteroka dalam 400 hektar ini… ia perlu dihentikan demi memelihara hutan simpan,”katanya.