KUALA LUMPUR: Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) akan mengadakan perhimpunan Reformasi Teksi pada 19 Disember ini berikutan kegagalan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyelesaikan isu membabitkan teksi dan syarikat e-hailing, Grab.

Yang Dipertua GTSM, Kamarudin Mohd Hussain, berkata perhimpunan aman itu diadakan di seluruh negara pada hari dan waktu yang sama membabitkan kira-kira 150 persatuan di bawah gabungan berkenaan.

“Kami menyeru semua pemandu teksi untuk bangkit dan menuntut hak sebagai pemandu teksi supaya tidak dijajah perkhidmatan e-hailing, Grab yang semakin besar kepala.

“Kami juga ingin menasihati Loke agar segera menyelesaikan isu ini, sekiranya Grab tidak boleh dihapuskan tolong wujudkan kesamarataan yang adil kepada kami dan Grab,” katanya dalam sidang media di sebuah hotel di sini, hari ini.

Kamarudin berkata, GTSM juga tidak akan membuat permohonan permit bagi mengadakan perhimpunan itu dan arahan berkenaan turut dimaklumkan kepada semua persatuan yang terlibat.

“Kami tidak akan membuat permohonan permit, kenapa kami perlu mendapatkan kebenaran sedangkan pihak yang bersalah (Grab) boleh berkhidmat sampai hari ini.

“Kami akan turun ke seluruh negara untuk berjumpa dengan persatuan teksi dan pemandu supaya bersama-sama menyertai perhimpunan ini,” katanya.

Katanya, sekiranya Loke masih gagal menyelesaikan isu berkenaan, mereka akan mengadakan perhimpunan Reformasi Teksi kedua di Kuala Lumpur dan meminta semua pemandu teksi berhimpun dan mendesak Loke meletak jawatan.

Sementara itu, Pengarah Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd Datuk Shamsubahrin Ismail, berkata beliau kesal dan kecewa dengan Loke berikutan permohonan mereka mengadakan perjumpaan dengan kementerian bagi membincangkan isu berkaitan industri teksi tidak dilayan.

“Surat yang dihantar kepada Yang Berhormat pada 5 November lalu memohon untuk mengadakan perjumpaan bagi menyelesaikan masalah teksi tidak diambil berat oleh menteri dan kementerian.

“Saya kesal dengan sikap tidak profesional beliau malah tiada sebarang balasan jawapan terhadap permohonan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, sikap berdiam diri Loke itu seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu sedangkan pihaknya hanya mahu mengadakan perbincangan dan membuat penjelasan mengenai teksi – berita harian