IPOH – DAP menyifatkan kerjasama parti PAS dan UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Balakong serta Seri Setia adalah sebuah gabungan politik yang tidak berprinsip.

Timbalan Setiausaha Agungnya, Nga Kor Ming berkata, ini kerana gabungan tersebut hanya dibuat semata-mata atas prinsip memenuhi hawa nafsu pemimpin-pemimpin dari dua parti tersebut.

“Kerjasama ini amat pelik, PAS berjuang 60 tahun nak jatuhkan Barisan Nasional (BN) tapi sekarang dia (PAS) kerjasama untuk angkat dan naikkan BN semula, tak faham logiknya.

“Dahulu PAS cakap undi UMNO adalah haram, tapi nampaknya sekarang semua dah jadi halal, jelas ini satu usaha licik untuk memesong atau menipu pengundi, mereka tuduh UMNO, UMNO penyamun tapi sekarang tidur sebantal,” katanya pada satu sidang media di sini pada Ahad.

Namun Pengerusi DAP Perak itu berkata, pihaknya yakin rakyat kini sudah celik politik dan tidak akan terpedaya dengan “wayang” cuba dimainkan oleh parti-parti pembangkang.

“Saya percaya rakyat Malaysia bijak untuk buat penilian sendiri dan tidak akan terpedaya denagan blok politik yang tidak ada prinsip ini.

“Contohnya PRK ini, kali pertama logo BN tidak digunakanya dan sebaliknya mereka (BN) guna logo MCA, ini hanya helah MCA untuk menipu pengundi, seperti talam dua muka duduk di dalam BN namun tidak gunakan logo BN, satu usaha licik namun rakyat sedar dan akhirnya tidak beri mereka undi,” jelas beliau.

Sementara itu, mengulas mengenai peratusan rendah keluar mengundi pada PRK di kedua-dua DUN berkenaan semalam, beliau memberitahu ia adalah sesuatu yang normal dan dijangkakan.

“Ia kerana beberapa faktor, saya rasa kalau kita kaji sejarah ianya adalah satu perkara yang lumrah setiap kali selepas kemuncak Pilihan Raya Umum, biasanya PRK akan menjadi dingin, lebih-lebih lagi kita baru sahaja mengharungi PRU baru-baru ini,” tambahnya.