ALOR SETAR: Segelintir pemandu lori muatan berat di sini, sanggup menggadaikan nyawa sendiri dan membahayakan pengguna jalan raya dengan memandu kenderaan terbabit walaupun menyedari lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

Malah, mereka juga tidak memberi kerjasama dengan melarikan diri apabila cuba ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengelakkan dikenakan saman dan berkemungkinan lori di sita.

Itu antara cabaran terpaksa dihadapi JPJ Kedah sepanjang menjalankan Ops Tutup bermula Januari 2018 hingga Julai lalu.

Pengarah JPJ Kedah, Isma Suhaimi Sharif, berkata pihaknya sentiasa komited mengenai isu kenderaan membawa lebih muatan dan kesalahan lain dengan mengambil pendekatan membuat rondaan dan menyamar di lokasi jadi tumpuan kenderaan berat.

Menurutnya, sepanjang lima siri Ops Tutup diadakan pihaknya mendapati pemandu kenderaan berat ini tidak mahu memberi kerjasama dan enggan memberhentikannya untuk pemeriksaan.

“Selepas ditahan baru kami tahu keengganan mereka menghentikan kenderaan masing-masing kerana LKM sudah tamat tempoh selain tiada perlindungan insurans.

“Selain itu, ada juga yang mengubah suai lori mereka, membawa lebih muatan dan menyalah guna permit barangan yang sepatutnya untuk pertanian tetapi membawa bahan batuan,” katanya pada sidang media di Pejabat JPJ negeri, di sini, hari ini.

Isma Suhaimi berkata, sejak Januari hingga Julai lalu, sebanyak 6,459 saman dikeluarkan JPJ negeri terhadap kenderaan berat di negeri ini berbanding cuma 5,107 untuk tempoh sama, tahun lalu.

“JPJ Kedah juga berhasrat mengadakan pertemuan bersama kerajaan negeri dan agensi di bawahnya bagi mencari penyelesaian terhadap peningkatan jumlah kes membabitkan kenderaan berat di negeri ini.

“Antara perkara yang boleh dibincangkan adalah bidang kuasa masing-masing.

“Di pihak JPJ, kami hanya boleh mengambil tindakan selepas kenderaan terbabit berada di jalan raya, sedangkan perkara itu sepatutnya sudah boleh diatasi di peringkat awal iaitu ketika kenderaan terbabit masih berada di tapak kuari lagi,” katanya.

Beliau berkata, melalui permit kelulusan kuari oleh kerajaan negeri, ada syarat dan perlu dipatuhi kenderaan berat ini.

“Sekiranya wujud jalinan kerjasama lebih erat antara kami dan pihak yang mengelolakan permit ini, saya percaya pemantauan untuk semua pihak menguatkuasakan undang-undang secara bersama menjadi lebih mudah,” katanya – berita harian