ALOR GAJAH: Seorang penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu, di sini dilapor hilang sejak enam hari lalu.

Kehilangan Norazwa Rashid, 20, yang mengambil jurusan perbankan menimbulkan tanda tanya apabila dia tidak pulang ke asrama, selepas kembali ke kampus itu pada 2 Jun lalu.

Kali terakhir Norazwa dilihat rakan sebiliknya pada jam 10 pagi, 3 Jun dan perkara itu dimaklumkan kepada keluarganya di Kuala Lumpur.

Kakak Norazwa, Rabiatul Azlin, 21, berkata, dia bersama ibu serta abangnya ke UiTM Lendu sejak semalam untuk mencari Norazwa, selepas menerima khabar itu menerusi Messenger.

“Saya ada bertemu rakan sebiliknya dan diberitahu kali terakhir dia bertemu adik saya pada Ahad lalu, kira-kira jam 10 pagi.

“Selepas itu katanya Norazwa dipercayai keluar dengan seorang lelaki tidak dikenali,” katanya di sini, hari ini.

Rabiatul Azlin berkata, adiknya keluar tanpa membawa dokumen penting termasuk kad pengenalan dan surat beranak, malah pemeriksaan dibuat turut menemui resit pembayaran KFC Alor Gajah bertarikh 2 Jun.

Katanya, Norazwa hanya meninggalkan pakaian untuk ke kuliah, manakala pakaian hariannya tidak kelihatan.

Menurutnya, sebelum ini adiknya pernah mengadu sangat tertekan ketika kali terakhir menghubunginya.

Rabu lalu, ibunya, Rosmawati Mohd Ramli, 46, membuat laporan polis kehilangan Norazwa di Balai Polis Wangsa Maju dan laporan sama dibuat Rabiatul Azlin di Balai Polis Alor Gajah, di sini, hari ini.

“Laporan pertama dibuat emak saya selepas saya menerima mesej Messenger kehilangan adik dan hari ini kami buat lagi selepas gagal menemuinya,” katanya yang memberitahu pernah menerima WhatsApp daripada nombor tidak dikenali dengan mesej ‘ini nombor baharu’ – berita harian