JITRA: Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh treler rosak di laluan kecemasan di Kilometer 21.6, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini, malam tadi.

Dalam nahas jam 11 malam itu, mangsa, Nurul Najihah Zubir, 23, dari Taman Asun, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada kepala dan badannya.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, mangsa dikatakan menunggang motosikal seorang diri selepas pulang bekerja di sebuah pasar raya di sini, sebelum kemalangan berlaku.

Katanya, mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya dikatakan terlanggar kon kecemasan sebelum melanggar bahagian belakang treler yang mengalami kerosakan.

Mayat Nurul Najihah Zubir, 23, yang maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan sebuah treler di Kilometer 21.6 Lebuhraya Utara Selatan dekat Asun. – Foto ihsan PDRM

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat.

“Pemandu treler berusia 47 tahun dipercayai berhenti di laluan berkenaan selepas kenderaan dari Kulim itu mengalami kerosakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Ismail berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil ke balai membantu siasatan – berita harian