SAYA dengar bunyi bising dan jeritan, namun tidak mengendahkannya kerana memikirkan itu hanya pertengkaran biasa.

“Bagaimanapun, tidak lama kemudian saya lihat orang ramai mengerumuni lokasi lalu bergegas ke sana sebelum terkejut melihat seorang wanita terbaring dalam keadaan berlumuran darah.”

Begitu kata seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Wan, 40-an menceritakan kejadian lelaki yang menetak pergelangan tangan kiri isterinya hingga putus di Pangsapuri Bayu Nyaman, Bayan Lepas, Balik Pulau, hari ini.

Menurut Wan, ketika itu keadaan agak kecoh apabila ada penduduk mendakwa wanita terbabit adalah mangsa ragut dan tetak, namun akhirnya mengetahui cerita sebenar daripada beberapa ahli keluarganya.

“Saya mendapat tahu mangsa dan suaminya bergaduh dalam kereta sebelum dia ditetak lelaki terbabit yang kemudian terus melarikan diri.

“Ada juga yang mendakwa ketika kejadian anak mereka berusia sembilan bulan turut ada bersama dan mangsa dalam keadaan lemah masih sempat menghubungi ahli keluarga yang kemudian datang membantu,” katanya.

Katanya, penduduk juga mendakwa bapa mangsa sempat mengutip pergelangan tangan kiri anak perempuannya dan meletakkannya dalam ais sebelum dibawa ke hospital.

“Sebelum ini, memang saya tahu suami isteri itu kerap bertengkar, namun enggan mencampuri urusan rumah tangga mereka.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila mengetahui yang pergaduhan itu berakhir dengan tragedi hingga menyebabkan mangsa ditetak,” katanya.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa, 24, parah selepas pergelangan tangan kirinya ditetak hingga putus oleh suspek, 39, yang berjaya ditahan di sebuah surau di Lebuh Macallum, Georgetown.

Difahamkan, mangsa masih tidak sedarkan diri dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang – hmetro