BAGAN SERAI – Lima suspek terlibat dalam kes melepaskan tembakan dan kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Batu 11, Jalan Sungai Baru, Tanjung Piandang, awal pagi semalam berjaya dicekup dalam satu operasi dilancarkan polis, pada hari sama kejadian.

Tangkapan itu dibuat susulan penahanan seorang lelaki mabuk dan mempunyai sepucuk pistol yang ditemui dalam keadaan cedera di lokasi kemalangan di Jalan Pantai, Tanjung Piandang, sekitar jam 2.32 pagi.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, anggota yang menjalankan tugas ronda cegah jenayah bergegas ke lokasi dan mengesan sebuah motosikal jenis Honda Ego warna biru putih berada di atas jalan raya dalam keadaan remuk.

Menurutnya, pemerhatian dilakukan menemui seorang lelaki berusia 37 tahun dalam keadaan terbaring dengan kesan cedera iaitu bengkak dan berdarah pada bahagian mulut di tepi sebuah rumah tidak bernombor, Batu 10 1/2, Jalan Pantai, Tanjung Piandang.

“Polis turut menemui sepucuk pistol berwarna perak hitam jenis Smith & Wesson Para Bellum 9MM berserta satu kelopak (magazine) yang mengandungi dua butir peluru hidup di atas tanah dalam jarak enam meter dari tempat lelaki itu terbaring.

“Siasatan kita mendapati, kejadian berlaku akibat perselisihan faham mengenai bekalan dadah dan menyebabkan lelaki itu bertindak agresif dengan melepaskan tembakan dengan menggunakan sepucuk pistol yang dibeli sendiri tanpa permit atau lesen sah.

“Lanjutan itu, suspek lain yang tidak berpuas hati mula bertindak menyerang lelaki berkenaan hingga mengakibatkan kemalangan membabitkan sebuah motosikal, sebuah kereta Perodua Myvi dan Toyota Vios,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Sanusi Salleh.

Omar Bakhtiar berkata, sekitar jam 9 pagi, semalam sepasukan polis diketuai bahagian risikan dan operasi jenayah IPD berjaya menahan empat lagi suspek berusia lingkungan 28 hingga 37 tahun yang terlibat dalam kes berkenaan.

Katanya, rampasan turut dibuat seperti sepucuk pistol berserta satu kelopak mengandungi dua peluru hidup, beberapa helai seluar jeans pendek, baju dan sebuah kereta Perodua Myvi warna hitam yang menggunakan nombor pendaftaran berlainan di bahagian hadapan dan belakang.

“Tiga daripada yang ditahan dikesan memiliki rekod jenayah masing-masing dalam kes penyalahgunaan dadah, jenayah kekerasan dan bunuh, sementara dua lagi didapati tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

“Ujian air kencing mendapati kesemua positif dadah jenis methapethamine dan mereka kini direman selama tujuh hari dari tarikh tangkapan untuk siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 3 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya – sinar