PENGKALAN HULU – Lapan pelajar ditahan bersama enam lelaki lain selepas didapati terlibat dalam satu pergaduhan di Dataran Tasek Takong di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, pergaduhan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham hingga menimbulkan situasi ejek mengejek antara mereka.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Raduan Mohamad berkata, mereka berusia antara 15 hingga 20 tahun itu ditahan secara berasingan di beberapa lokasi sekitar daerah berkenaan.

“Kejadian itu menyebabkan tiga daripada mereka cedera ringan dan telah mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran.

“Tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh seorang daripada mereka dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh,” katanya.

Menurutnya, pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap 176 individu dan 105 kenderaan dalam operasi bersepadu yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polos Daerah (IPD) Pengkalan Hulu.

“Dalam operasi itu juga, dua remaja lelaki berusia 18 dan 17 tahun ditahan bersama bungkusan berisi air ketum seberat 1.7 liter dan satu liter.

“Kedua-dua mereka ditahan kira-kira jam 4 petang di tepi jalan Tasek, Kampung Selarong kelmarin (Sabtu) dan kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

-SinarOnline