IPOH: Seorang lelaki maut dipercayai ditetak dengan parang dalam pergaduhan dua kumpulan di sebuah pusat hiburan di Bandar Baru Medan Ipoh, di sini, awal tadi.

Difahamkan, mangsa, S Karunakaran, 35, yang parah di beberapa bahagian anggotanya meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohd Nordin Abdullah, berkata polis menerima maklumat pada jam 8 pagi, memaklumkan seorang lelaki dimasukkan ke Zon Kritikal HRPB dan sudah meninggal dunia.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia akibat parah berpunca daripada tetakan selepas berlaku pergaduhan antara kumpulan mangsa dan satu lagi kumpulan lain di pusat hiburan berkenaan.

“Siasatan mendapati ketika mangsa sedang berhibur dan dipercayai mabuk selepas meminum arak, berlaku pergaduhan antara kedua-dua kumpulan di dalam pusat hiburan itu.

“Pergaduhan itu sehingga ke luar pusat hiburan berkenaan sebelum mangsa ditetak. Pergaduhan membabitkan penggunaan parang,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Mohd Nordin berkata, empat suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu sudah dikenal pasti dan polis sedang menjalankan risikan untuk menahan mereka – Berita harian