IPOH – Penahanan dua lelaki berusia 30 dan 28 tahun, Rabu lalu adalah tangkapan terbaharu kejadian tembak di Menglembu hingga mencederakan tiga ahli kumpulan kongsi gelap Geng 08, Ahad minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Gan Tian Kee berkata, keseluruhan sembilan suspek yang ditahan termasuk tiga mangsa kini direman untuk siasatan lanjut.

“Siasatan lanjut mendapati kedua-dua lelaki yang ditahan mempunyai rekod lampau dalam kejadian rompak, curi, melakukan khianat, memiliki senjata dalam rusuhan serta memiliki dadah.

“Mereka direman sehingga Selasa ini manakala empat suspek berusia 24 hingga 34 tahun pula sambung reman sehingga Sabtu depan untuk melengkapkan siasatan,” katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa dilaporkan cedera sebelum ini dibenarkan keluar wad setelah keadaan mereka dilaporkan stabildan ditahan untuk siasatan lanjut.

“Mereka yang berusia 21 hingga 28 tahun itu juga disambung reman sehingga Rabu ini. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1967,” katanya.

-Sinarharian