KUALA LUMPUR– Kerja-kerja pembinaan Menara Felcra di Jalan Semarak di sini terpaksa digantung ekoran masalah kewangan serta kegagalan mendapatkan pembeli baharu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Mohd. Nazrul Izam Mansor, projek yang sudah 42 peratus siap itu ditangguhkan sejak akhir tahun lalu dan kini hampir tiada aktiviti di lokasi itu.

“Kami sudah berbincang dengan banyak pihak tetapi masih belum berjaya.

“Pasaran hartanah juga lemah setakat ini tetapi kami memang tidak mampu untuk meneruskannya buat masa sekarang.

“Kami tunggu sehingga kewangan Felcra semakin pulih atau mendapat rakan kongsi mahupun pembeli baharu, kita boleh berunding.

“Projek ini tidak akan terbengkalai, cuma ditangguhkan,” katanya semasa sidang media hari ini.

Projek pembangunan bercampur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1 bilion itu diusahakan atas tanah milik Felcra sendiri bagaimanapun telah menyebabkan ‘kantung’ agensi berkenaan ‘kering’.

Felcra dilaporkan telah membelanjakan RM200 juta ringgit ke atas projek yang merangkumi sebuah menara pejabat setinggi 35 tingkat, kondominium mewah 43 tingkat, sebuah gedung membeli-belah dan pusat konvensyen antarabangsa setakat ini.

Bagaimanapun, ia masih perlu menokok RM400 juta lagi bagi menyiapkan baki 50 peratus projek berkenaan.

“Saya tidak tahu Felcra terlibat dengan projek-projek pembinaan mewah selama ini.

“Selepas masuk (dilantik menjadi CEO) baru saya tahu Felcra ada projek pembinaan dengan GDV RM1 bilion dan ini bermakna kita terpaksa bersaing dengan pemaju-pemaju besar yang lain sedangkan kita semua tahu projek-projek pembangunan bernilai RM800 juta ke atas sukar untuk mendapat tempat,” tambahnya.

Felcra merancang untuk menjadikan menara tersebut sebagai pejabat korporatnya apabila siap kelak namun bagi Nazrul Izam, masih banyak cara lain untuk meringankan beban kewangan agensi berkenaan.

Dalam pada itu, Nazrul Izam juga berkata, Felcra merancang untuk meningkatkan mutu hasil estet-estetnya bagi menambah baik kewangan syarikat.

Beliau juga mahu mempromosi santan kelapa sawit keluaran Felcra sebagai salah satu cabang perniagaan hiliran yang bakal dijadikan fokus agensi tersebut pada masa depan.- MalaysiaGazette