KAMPUNG GAJAH: Seorang pemandu kereta maut apabila kereta yang dipandu bertembung sebuah lori ketika cuba memotong sebuah kereta lain di Jalan Transperak, dekat sini, pagi Rabu.

Mangsa, Tan Boon Kiat, 28, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kemalangan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohd Zainal Abdullah berkata, pemandu lori dan sebuah lagi kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Toyota Vios yang dipandu mangsa dan sebuah Perodua Myvi yang dipandu seorang anggota Angkatan Pertahanan Awan (APM) sedang dalam perjalanan dari arah Jejawi ke Kampung Gajah manakala lori datang dari arah bertentangan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta mangsa cuba memotong kereta Myvi tetapi tidak sempat masuk ke laluannya semula lalu berlanggar dengan lori.

“Akibat pelanggaran tersebut, kereta yang dipandunya berpusing lalu terlanggar Myvi,” katanya di sini.

Mayat dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.