IPOH: Terdapat banyak persamaan antara Gagasan Perak Amanjaya yang diilhamkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Transformasi Nasional 50 (TN50) yang diperkenalkan kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, kedua-dua program itu menekankan kepada perkara-perkara asas yang dikehendaki oleh anak muda.

Beliau memberi contoh, konsep 3Q dalam Perak Amanjaya iaitu kualiti pendapatan, kualiti peluang dan kualiti kehidupan yang berlandaskan tujuh bidang keberhasilan utama (KRA) akan diadun dengan TN50 yang akan disiapkan tahun hadapan.

Di samping itu, kata beliau, berdasarkan KRA kelima Gagasan Amanjaya iaitu angkatan generasi muda yang berpatisipasi dan keharmonian masyarakat,

“Saya percaya Gagasan Amanjaya selaras dengan TN50 kerana kerajaan negeri mahu anak-anak muda di negeri ini memainkan peranan utama dalam pembangunan negeri,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Tarmizi Idris (BN – Kenering) dalam Sidang DUN di sini pada Selasa.

Selain itu, kata beliau, kesungguhan kerajaan negeri itu dapat dilihat melalui penubuhan pelbagai pertubuhan untuk golongan beliau seperti Majlis Perundingan Pemimpin Muda dan Dewan Belia Perak.

Ketika menjawab soalan tambahan Radzi Zainon (PAS – Sungai Rapat) mengenai perlu usaha untuk mengatasi masalah mental di kalangan golongan muda, Shahrul Zaman berkata, perkara tersebut juga telah ditimbulkan semasa persidangan Dewan Belia Perak baru-baru ini.

Terdahulu, ketika menjawab soalan asal Mohd Tarmizi, beliau memberitahu, Dialog TN50 Peringkat Negeri Perak telah diadakan pada 8 Mac lalu yang menghimpunkan 1,219 belia daripada pelbagai latar belakang, kaum dan pekerjaan.

Menurutnya, sebanyak 50 aspirasi telah dikemukakan secara bersemuka di samping 373 lagi yang dihantar melalui platform media sosial yang disediakan.

Di samping itu, ujarnya, sebanyak 17 program dialog telah diadakan di peringkat daerah dan daerah kecil di seluruh negeri mulai April hingga Julai 2017.