GERIK- Seekor gajah betina berumur 35 tahun yang dilaporkan berkeliaran di atas Jalanraya Timur Barat (JRTB), di sini baru-baru ini, disahkan mati semalam (Isnin) dipercayai berpunca dari keadaan fizikalnya yang terlalu lemah dan sakit.

Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Wan Shaharuddin Wan Noordin, lima orang kakitangan Perhilitan Gerik dan Ipoh bergegas ke lokasi setelah menerima laporan dan mendapati gajah tersebut bergerak dengan keadaan lemah serta perlahan.

“Ketika kejadian pada 24 Februari, anggota (Perhilitan) telah memantau lalulintas bagi mengelakkan sebarang kemalangan dari kenderaan yang melalui jalan tersebut.

“Bagaimanapun pada jam 8.30 malam, gajah tersebut terjatuh ke dalam longkang selepas anggota gagal untuk menghalang ia dari bergerak ke kawasan itu.

“Doktor Veteriner (VO) telah dimaklumkan dan sampai di lokasi berkenaan pada jam 3 pagi, suntikan multivitamin dan ubat tahan sakit diberikan namun gajah yang bersaiz tapak kaki 14 inci tidak menunjukkan sebarang perubahan dan disahkan mati semalam (Isnin) pada jam 10.35 pagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Wan Shahruddin menambah, pemeriksaan awal mendapati terdapat nanah di gusi gajah tersebut, selain itu lidahnya juga ditumbuhi ulser.

“Bedah siasat telah dijalankan dan sampel telah diambil untuk dihantar ke makmal, bangkai gajah ditanam pada jam 1 petang semalam,”katanya lagi.