PEKAN: Lima pekebun di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kota Perdana, dekat sini, kerugian kira-kira RM1 juta dalam tempoh empat tahun selepas tanaman diusahakan mereka musnah angkara gajah.

Serangan terbaru haiwan liar yang menghuni Hutan Simpan Ibam, Rompin itu berlaku malam kelmarin yang memusnahkan lebih 300 tanaman nangka, kelapa, betik dan pisang.

Mohd Derus Abdul Latif, 57, berkata serangan terbaru kumpulan gajah berlaku selama dua malam menyebabkan banyak kerosakan pada tanaman yang sedang mengeluarkan hasil dan kerugian dianggarkan lebih RM48,000.

Katanya, tumpuan utama haiwan terbabit ialah pokok pisang dan kelapa namun ia turut merosakkan tanaman lain ketika ia melalui kebun selain menjejaskan pagar zink serta saluran paip.

“Serangan gajah kali ini membabitkan empat lot projek TKPM Kota Perdana yang terkenal dengan tanaman nangka madu jenis J33 yang kini mengeluarkan hasil secara berperingkat sejak Oktober lalu hingga awal tahun depan.

“Saya kini terpaksa mengupah pekerja untuk melakukan rondaan selain membuat unggun api bagi mengelak kumpulan haiwan terbabit terus menceroboh dan memusnahkan tanaman,” katanya yang juga pesara Jabatan Pertanian Negeri Pahang.

Beliau berkata, serangan terbaharu itu menyebabkan lima pekebun di TKPM Kota Perdana menanggung kerugian kira-kira RM1 juta sejak ia kali pertama muncul serta merosakkan tanaman pada 2014.

KEADAAN tanaman kelapa yang dimusnahkan kumpulan gajah di TKPM, Kota Perdana. – NSTP/Mohd Rafi Mamat

“Parit sempadan yang tertimbus memudahkan lagi kumpulan gajah berada di Hutan Simpan Ibam menceroboh TKPM Kota Perdana, terutama kawasan tanaman berhampiran hutan.

“Kami merayu kepada Jabatan Pertanian Pahang supaya dapat menggali semula parit bagi menghalang haiwan terbabit terus menceroboh. Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) juga perlu memberi perhatian serius,” katanya.

Sementara itu Pengarah PERHILITAN Pahang, Ahmad Azhar Mohammed, berkata kakitangan PERHILITAN Muadzam Shah diberi tugas memantau ancaman gajah di TKMP Kota Perdana supaya ia tidak terus berlaku.

“Pengawalan secara rondaan pada waktu malam, terutama sepanjang kawasan sempadan Hutan Simpan Ibam dengan TKPM dilakukan secara berterusan dengan kerjasama pekebun.

“Pekebun dicadangkan menggunakan unggun api dan lampu diod pemancar cahaya (LED), selain pagar elektrik bagi menghalang gajah terus menceroboh kawasan TKPM,” katanya – berita harian