GERIK: Jabatan Perhilitan Negeri Perak mengesahkan seekor gajah jantan merayau di sekitar Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa yang viral di media sosial telah dipindahkan dengan selamat.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superitendan Ismail Che Isa berkata gajah jantan yang berusia belasan tahun itu telah dikendalikan oleh Perhilitan yang melancarkan operasi tangkapan untuk memastikan perpindahan mamalia itu ke habitat lebih sesuai.

Menurut kenyataan media tersebut, Ismail
berkata Perhilitan telah berjaya menangkap gajah berkenaan pada 7 Mei lepas namun proses perpindahan harus ditangguh berikutan keadaan topografi.

“Memandangkan faktor muka bumi kawasan tangkapan yang bercerun, gajah tersebut terpaksa ditambat sementara di kawasan yang mempunyai pokok besar di tepi jalan tersebut.

“Pengurusan tangkapan gajah liar ini juga mematuhi standard piawaian (SOP) dan daripada segi kebajikan gajah terbabit, pasukan Perhilitan bersama Pegawai Veterinar ditempatkan di kawasan tersebut 24jam bagi memantau kesihatan, keperluan makan, minum serta diet gajah terbabit,”katanya dalam kenyataan media di sini,hari ini.

Menurut Ismail, buat masa ini gajah jantan tersebut terpaksa dirantai memandangkan ia merupakan gajah liar yang boleh mendatangkan risiko kepada orang awam.

Jelasnya, keselamatan orang awam menjadi keutamaan memandangkan aliran trafik yang tinggi melalui kawasan tersebut sempena musim PRU14 baru-baru ini .

“Pegawai Veterinar yang bertugas juga sentiasa memeriksa tahap kesihatan dan bahagian kaki gajah yang dirantai bagi mengelakkan kecederaan.

“Jabatan PERHILITAN sedang mengambil tindakan segera untuk memindahkan gajah terbabit iaitu pada esok (12 Mei) oleh Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK),”katanya.

Menurut Ismail, Perhilitan juga dalam pada itu berterima kasih di atas keprihatinan masyarakat berkaitan isu ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya dalam mengurus perkara ini.