PUTRAJAYA: Mesyuarat Kabinet hari ini memutuskan gaji Jemaah Menteri dipotong 10 peratus berkuatkuasa serta merta.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata persetujuan pemotongan gaji asas sebanyak 10 peratus itu menunjukkan Jemaah Menteri prihatin terhadap masalah kewangan negara.

Beliau berkata, gaji menteri adalah lebih rendah daripada pegawai tinggi kerajaan, justeru kerajaan tidak bercadang menaikkan gaji menteri sebaliknya akan dikurangkan sebanyak 10 peratus.

“Perkara pertama yang saya buat selepas dilantik Perdana Menteri pada tahun 1981 adalah memotong gaji menteri dan pegawai kanan kerajaan.

“Seperti yang semua tahu, gaji pegawai kanan kerajaan lebih tinggi daripada gaji menteri. Justeru, terpulang kepada mereka…jika mereka berasakan perlu untuk menyumbang kepada pengurangan perbelanjaan kerajaan, mereka boleh berbuat demikian.

“Tapi kami (kerajaan) tidak paksa,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet pertama di sini, hari ini.

Katanya, mesyuarat Kabinet hari ini banyak membincangkan aspek penyusunan pentadbiran terutama masalah kewangan termasuk hutang negara yang sebenarnya sudah mencecah RM1 trilion.

Dr Mahathir berkata, mesyuarat juga sudah dapat mengkaji cara bagaimana untuk mengurangkan hutang terbabit dan perkara itu akan akan diuruskan oleh Menteri Kewangan.

Katanya, kerajaan juga akan menentukan proses pengurangan perbelanjaan itu tidak memberi kesan kepada mereka yang bergaji rendah.

“Kerajaan juga akan menentukan tiada masalah timbul hasil daripada pengurangan perbelanjaan kerajaan dan pada masa sama, kerajaan sudah mengenal pasti banyak perbelanjaan dan projek lama yang boleh dikurangkan.

“Jumlah sebenar projek dan perbelanjaan yang boleh dikurangkan itu bernilai berbilion ringgit, namun beliau belum lagi mempunyai maklumat terperinci mengenainya.

“Sebanyak mana yang kita dapat kurangkan perbelanjaan kerajaan, sudah tentu ada projek yang mungkin gugur dan ada yang mungkin kita hentikan, malah ada juga mungkin kita akan rundingan semula untuk kurangkan kos – berita harian