ALOR SETAR: Pelaksanaan kadar gaji minimum sebanyak RM1,500 bagi sektor swasta yang termaktub dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) adalah janji dalam tempoh lima tahun pentadbiran.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata pihaknya ingin menjelaskan bahawa janji berkenaan bukannya untuk dilaksanakan dalam tempoh 100 hari meskipun ia terkandung dalam manifesto sebaliknya akan cuba dikotakan sebelum berakhirnya penggal pentadbiran PH.

“Perlu dijelaskan janji ini bukan untuk 100 hari namun bagi tempoh lima tahun sebelum berakhirnya penggal ini.

“Kita sedang memikirkan dan usaha ke arah itu (pelaksanaan gaji minimum) sudah bermula dan kita positif dapat melaksanakannya,” katanya kepada pemberita, di sini.

Pada masa sama, Mahfuz berkata, semakan terhadap pelaksanaan gaji minimum itu akan dijalankan setiap dua tahun untuk memastikan bayaran diterima oleh pekerja oleh majikan di negara ini kekal relevan.

Beliau berkata, malah kajian mengenai pelaksanaan gaji minimum itu juga sedang dilaksanakan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) sebelum ia dibawa ke Kabinet untuk diputuskan.

Terdahulu, Mahfuz menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada balu Johari Zakaria, iaitu Salihah Che Pi sebanyak RM2,000.

Johari, 60, yang maut di tempat kerjanya di sebuah kilang perabot di Gunung Keriang, dekat sini, akibat ribut minggu lalu turut menerima bayaran pencen bulanan kira-kira RM500 yang akan diberikan kepada warisnya.

Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, PERKESO Kedah sudah menguruskan sebanyak RM20 juta skim pembayaran faedah pekerja, manakala sepanjang tahun lalu membabitkan pembayaran keseluruhan kira-kira RM44 juta.

Sementara itu, Mahfuz berkata, semua pekerja kontrak dan sementara yang berkhidmat di sektor awam harus memastikan kebajikan mereka dilindungi dalam caruman PERKESO.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan masih banyak sektor awam di negara ini memandang ringan untuk memastikan pekerja mereka yang diambil secara kontrak dan sementara dilindungi PERKESO.

“Sehubungan itu, saya akan berbincang dengan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran untuk membuat ketegasan bagi memastikan majikan terdiri daripada sektor awam mengambil tanggungjawab ini.

“Tetapi terlebih dulu, mana-mana pekerja sementara dan kontrak harus berani bersuara mengenai hak mereka untuk dicarum dalam PERKESO dan usah takut kerana tidak sewajarnya mereka dikenakan tindakan jika berbuat demikian,” katanya – berita harian