BUKIT MERTAJAM: Gaji yang diperoleh hasil bekerja sebagai mekanik mungkin tidak cukup buat seorang pemuda apabila dia dikesan turut menjual dadah untuk menampung hidup.

Bagaimanapun, perbuatan remaja terbabit bersama-sama rakannya yang tidak bekerja terbongkar apabila mereka ditahan polis di sebuah rumah di Permatang Rawa, di sini, semalam.

Dalam serbuan jam 3.10 pagi itu, kedua-dua suspek berusia 19 dan 21 tahun itu ditahan selepas polis melakukan risikan dan juga menerima maklumat berhubung kegiatan mereka.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika diserbu suspek berada dibawah rumah dan hasil pemeriksaan pihaknya menemui dua peket plastik lutsinar mengandungi heroin dan peralatan membungkus dadah di atas tanah.

“Dadah yang dirampas itu seberat 117.5 gram dan jumlahnya dianggarkan bernilai RM2,090.

“Kita percaya suspek sedang membungkus dadah terbabit untuk dijual kepada penagih sekitar kawasan Bukit Mertajam,” katanya.

Menurutnya, polis turut menyita sebuah motosikal dan pemeriksaan mendapati seorang daripada suspek memiliki rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

“Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua mereka positif dadah methamphetamine.

“Kedua-dua mereka kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya, hari ini – berita harian