IPOH: Kerajaan Perak menerusi program Tanaman Bumi Hijau memperuntukkan RM 0.79 juta untuk menyediakan kit Pakej Bumi Hijau sebagai usaha menggerakkan agenda memperkasa aktiviti pertanian di kalangan masyarakat.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, program ini merupakan yang pertama di negara ini dan bakal memberi manfaat kepada 11,081 isi rumah di Perak.

Katanya lagi, inisiatif melalui Jabatan Pertanian Negeri Perak itu bertujuan untuk menggalakkan masyarakat menanam sendiri sayur-sayuran dan buah-buahan di halaman rumah.

“Usaha ini bukan sahaja sahaja membantu menghijaukan bumi kita, malah ia juga memberi pulangan kepada komuniti serta mengurangkan perbelanjaan dapur, seterusnya menurunkan kos sara hidup.

“Orang ramai boleh memohon (kit Pakej Bumi Hijau) yang mengandungi biji benih sayur-sayuran dan buah-buahan melalui laman web dan kita fokuskan kepada pejabat ADUN dan sasarkan kepada komuniti.

“Kita akan sampaikan (permohonan) kepada pejabat ADUN dan mereka akan sampaikan (kit Pakej Bumi Hijau) kepada komuniti, orang ramai juga boleh hubungi laman web PPPNP, kit ini bernilai melebihi RM 71.

“Kempen kita adalah untuk tanam dan mulakan sendiri kemudian ada lebihan kita sedekah, tetapi kalau terlalu banyak dan boleh menjana ekonomi boleh dijual apa salahnya… namun sebaiknya dicadangkan tanam untuk makan sendiri,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Program Bumi Hijau Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri.

Sementara itu, dia berkata kerajaan negeri telah dan sedang menggerakkan agenda mewujudkan hampir 1,000 usahawan tani menerusi Skim Usahawan Agrotani.

Ia katanya bagi menyahut titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengenai jaminan bekalan negara.