TAIPING – Seramai 60 ahli Persatuan Pemandu Teksi Bandar Taiping bakal mendapat manfaat Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) apabila mencarum berkuatkuasa 1 Mei depan.

Exco kerajaan negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, pihaknya amat menggalakkan agar lebih ramai pemandu teksi khususnya di daerah ini agar dapat mendaftar sebagai pencarum SPS.

Menurutnya, hari ini Umno Bahagian Taiping berbesar hati dapat menyumbangkan sejumlah RM6,000 kepada 60 pemandu teksi yang aktif sebagai insentif untuk mereka mencarum dalam SPS.

“Setiap seorang akan menerima sumbangan sebanyak RM100 manakala bakinya RM57.20 akan dibayar setiap pemandu,” katanya kepada Sinar Harian dalam sidang media selepas Program Penyerahan Bantuan Caruman SPS kepada Persatuan Teksi Bandar Taiping, di Dataran Kelab Rukun Tetangga (KRT) Taman Desa Jana, di sini, semalam.

Tambah Mohammad Zahir, sebelum ini pekerja yang bekerja dengan majikan dilindungi oleh pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso).

“Namun kali ini mereka yang bekerja sendiri juga boleh dilindungi dan bakal mendapat faedah.

“Malah langkah ini juga adalah sebahagian usaha kerajaan bagi memastikan mereka yang bekerja sendiri dilindungi,” katanya.

Mohammad Zahir berkata, setiap pekerja seharusnya mempunyai jaringan keselamatan sosial yang baik.

“Inilah yang dilaksanakan bagi memastikan pencarum dan ahli keluarga mereka juga sentiasa dilindungi sekiranya berlaku kemalangan dan sebagainya,” katanya.

Mohammad Zahir berkata, pihaknya amat gembira dapat membantu golongan pemandu teksi di sini.

“Kita akan sentiasa memberikan perhatian khususnya melibatkan aspek kebajikan kepada pemandu teksi tambahan pula kebanyakan mereka telah berusia.

“Kita harap tindakan ini mampu menjadi contoh terbaik kepada lebih ramai pemandu teksi kerana mereka bakal mendapat manfaat daripada skim ini,” katanya.

Jelasnya, menerusi SPS pemandu boleh memilih beberapa pilihan caruman dan yang ditawarkan kepada ahli-ahli persatuan hari ini ialah bernilai RM157.20 setahun.

“Malah sekiranya mereka berkemampuan, boleh memilih beberapa kategori carumanan lain yang nilainya lebih tinggi,” katanya.