IPOH: Kewujudan Galeri Masyarakat Banjar di Daerah Kerian yang bakal dibina pada tahun hadapan, dijangka mampu memartabatkan adat dan kebudayaan unik masyarakat itu sebagai salah satu produk pelancongan di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi berkata, pihaknya sentiasa melaksanakan siri promosi yang menggabungkan segmen eko-pelancongan yang meliputi makanan dan budaya.

“Bersama-sama Majlis Daerah Kerian (MDK), kita telah mengenalpasti beberapa tempat yang berpotensi. Pembinaan Galeri Masyarakat Banjar melibatkan kerjasama MDK dan akan diletakkan di bawah pengawasan Lembaga Muzium Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Datuk Sham Mat Sahat (BN-Alor Pongsu) di persidangan Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nolee berkata, pihaknya sentiasa meneroka produk-produk pelancongan baru yang boleh meningkatkan pakej dan promosi termasuk menampilkan beberapa keunikan baharu yang terdapat di Kuala Gula.

“Kita menerima pandangan daripada pelbagai pihak. Kita juga melaksanakan usaha berterusan untuk mempromosi pelancongan seperti memperkenalkan ikon makanan baharu iaitu ketam lembut yang boleh menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.